Siakap Keli

Operasi Khas Pemutihan: Indeks Jenayah Johor Bharu Menurun

JOHOR BAHRU, 12 Mei (Bernama) — Indeks jenayah di daerah Johor Bahru menurun kepada 761 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 7 Mei tahun ini berbanding 924 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kadar penurunan kes jenayah itu adalah berikutan Operasi Khas Pemutihan yang dijalankan di sekitar daerah ini dan sejajar dengan penetapan Tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Johor.

“Kadar kes jenayah menunjukkan penurunan 163 kes iaitu 17.64 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah melaksanakan inisiatif Operasi Khas Pemutihan untuk membanteras pelbagai masalah jenayah bagi memastikan bandar raya Johor Bahru bebas daripada masalah sosial, penagihan dadah, jenayah ragut dan gelandangan.

Polis Johor, sehubungan itu, akan meneruskan dan memperluaskan Operasi Khas Pemutihan di semua daerah di negeri ini.

“Semua Ketua Polis Daerah telah diarahkan untuk melaksanakan operasi ini di lokasi-lokasi yang dikesan sebagai kawasan terdedah kepada penagihan dadah, jenayah ragut, gelandangan serta kawasan sering berlakunya gejala sosial.

“Ini bagi memastikan keadaan di negeri Johor selamat untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Johor 2020,” katanya lagi.

Sumber: BERNAMA

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.