Siakap Keli

Sri Lanka: Enam Buah Masjid Diserang, Cermin Dipecah Dan Ruang Solat Dirosakkan

Bermula semalam, kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan darurat pada waktu malam bermula 9 malam hingga 4 pagi waktu tempatan di seluruh negara akibat berlakunya keganasan menyasarkan komuniti Islam di sana.

Sejak serangan Easter Sunday oleh didakwa didalangi kumpulan Islamic State, hubungan masyarakat berbilang agama menjadi tegang apabila beberapa kumpulan membuat serangan balas dan merosakkan rumah ibadah seperti masjid.

Seorang lelaki maut ditikam di kedai pertukangan kayu miliknya di Puttalam District. Dalam pada itu, penduduk-penduduk di kawasan bergolak diminta tidak keluar dari rumah akibat ketegangan yang melanda.

Rusuhan yang berlaku memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan penunjuk perasaan.

Terdahulu, ketegangan memuncak selepas kumpulan Islamic State mengaku menyerang gereja dan hotel pada Easter Sunday, membunuh lebih 250 orang dan mencederakan 500 yang lain.

Dalam kenyataannya di Twitter, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe meminta rakyat untuk bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial.

Katanya, kekalutan yang berlaku akan mengganggu proses siasatan tragedi Easter Sunday pada 21 April lepas.

Bagi menghalang penyebaran khabar angin, kerajaan negara tersebut telah menghalang akses ke atas beberapa media sosial iaitu Facebook, Whatsapp, Youtube dan Instagram.

Menurut laporan DOAM, sekurang-kurangnya 6 buah masjid di Kiniyama rosak teruk seperti cermin tingkap dipecahkan serta ruang dalaman masjid dirosakkan oleh penyerang.

Hampir 10 peratus daripada rakyat Sri Lanka terdiri daripada Muslim, 7 peratus Kristian dan majoritinya beragama Buddha.

Sumber: TNYT, CNA, DOAM, BBC

Sumber: BBC, The New York Times, Channel News Asia, Documenting Oppression Agains Muslims

Amira

Love yourself.