Siakap Keli

Syarikat Israel Didakwa Intip Dan Memasang Spyware Melalui Panggilan Whatsapp Orang Awam

Sebuah syarikat kecerdasan siber Israel, NSO Group didakwa membekalkan perisian spyware untuk menjalankan pengintipan ke atas peranti melalui aplikasi Whatsapp yang mempunyai 1.5 bilion pengguna di seluruh dunia.

Perisian tersebut didakwa boleh menjangkiti peranti iOS dan Android seseorang melalui panggilan telefon di Whatsapp. Walaupun panggilan tersebut tidak dijawab, perisian rahsia tersebut tetap dapat memasuki peranti tanpa meninggalkan kesan. Log atau daftar masuk panggilan juga akan hilang sebelum mangsa menyedari tentang kewujudan perisian tersebut.

Sementara itu, jurutera perisian Whatsapp menggalakkan pengguna untuk mengemaskini aplikasi Whatsapp dan fungsi keselamatan peranti masing-masing secepat mungkin bagi mengelakkan pencerobohan.

Penganalisis keselamatan mendakwa, perisian tersebut mengambil kesempatan ke atas kelemahan perlindungan aplikasi tersebut untuk menggodam peranti sasarannya.

Sebelum ini, NSO Group menghasilkan program Pegasus, perisian rahsia yang boleh mengambil alih kawalan ke atas peranti tanpa disedari pengguna. Program tersebut boleh mengakses lokasi, kamera, mikrofon, fail, emel dan mesej teks peranti yang ditarget.

Program tersebut dijual kepada agensi di bawah kerajaan untuk mengintip aktivis, pembangkang dan orang awam.

Intip wartawan dan aktivis hak asasi manusia

Kajian oleh sekumpulan penganalisis di Toronto, sebanyak 45 buah negara dikaitkan dengan penggunaan perisian Pegasus yang dibangunkan NSO Group dan mensasarkan orang awam, terutamanya golongan aktivis hak asasi manusia dan pengamal media.

Menurut kumpulan penyelidik itu, sebanyak 10 pengendali perisian tersebut secara aktif menjalankan pengintipan rentas sempadan – pengintipan di luar sempadan negara.

Senarai negara yang dikaitkan dengan penggunaan perisian Pegasus adalah;

Algeria, Bahrain, Bangladesh, Brazil, Kanada, Cote d’Ivoire, Mesir, Perancis, Greece, India, Iraq, Israel, Jordan, Kazakhstan, Kenya, Kuwait, Kyrgyzstan, Latvia, Lubnan, Libya, Mexico, Maghribi, the Netherlands, Oman, Pakistan, Palestin, Poland, Qatar, Rwanda, Arab Saudi, Singapura, Afrika Selatan, Switzerland, Tajikistan, Thailand, Togo, Tunisia, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uganda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Yaman dan Zambia.

45 buah negara yang disyaki menggunakan Pegasus untuk mengintip orang awam. (Gambar: Citizen Lab 2018)

Sebelum ini, Citizen Lab menyimpulkan bahawa Pegasus digunakan kerajaan Arab Saudi untuk menyasarkan seorang warganegara Arab Saudi yang tinggal di Kanada yang berhubung rapat dengan Jamal Khashoggi, wartawan pengkritik kerajaan Arab Saudi yang dibunuh kejam oleh perisik negara berkenaan.

Jamal dipenggal, anggota badan dipotong dan dibakar di dalam oven bersuhu 1000 darjah celcius.

Walaubagaimanapun NSO Group menafikan perkara tersebut dan menegaskan penjualan perisian tersebut kepada badan kerajaan adalah semata-mata untuk memerangi jenayah dan keganasan.

Namun, menurut Financial Times, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSO Group, Shalev Hulio mempertahankan penggunaan perisian tersebut untuk menggodam peranti peguam dan wartawan.

Tambahan pula, urusan jual beli antara NSO Group dan badan kerajaan tidak telus meningkatkan kemungkinan penyalahgunaan perisian tersebut untuk menceroboh ruang privasi mana-mana individu.

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia di Arab Saudi menerima mesej melalui Whatsapp yang mengandungi pautan yang boleh memuat turun perisian rahsia tersebut ke dalam telefon mereka.

Sumber: The New York Times, Citizen Lab, Financial Times

Amira

Love yourself.