Siakap Keli
Gambar: Hello Sehat

5 Sebab Mengapa Anda Perlu Mengurangkan Pengambilan Gula Semasa Di Bulan Ramadan

Jika ditanyakan pada rakyat Malaysia, siapa sahaja yang tidak sukakan makanan dan minuman mereka dihidang dengan rasa yang manis. Malahan, gula merupakan salah satu kandungan yang utama perlu ada dalam kebanyakan masakan tradisi orang Malaysia.

Walaupun ianya sejenis penambah perisa yang memang menambahkan rasa sesuatu hidangan mahupun minuman itu sehingga menjadi lazat terutamanya di bulan ramadhan ini, ianya juga sebenarnya merupakan sejenis racun yang jika diambil secara berlebihan dan berterusan mampu mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang itu.

Justeru, langkah-langkah mengurangkan pengambilannya perlu dilakukan bagi mengelakkan sakit-sakit yang kronik menyerang di kemudian hari. Di bulan ramadan yang mulia ini, kita seharusnya mengambil kesempatan dalam berpuasa untuk mengawal serta mengurangkan pengambilan gula yang terdapat dalam sesuatu hidangan itu.

Terdapat banyak kebaikan positif yang boleh dielakkan jika kita dapat mengurangkan pengambilan gula yang ada dalam hidangan terutamannya minuman yang terdapat di bazaar ramadan. Ikuti perkongsian yang dikongsi oleh Hello Doktor mengenai kebaikan mengurangkan pengambilan gula semasa bulan ramadan.

Kita semua sukakan gula. Tanpanya, makanan dan minuman akan jadi serba tidak kena. Gula ada di hampir setiap hidangan kita. Tetapi sebenarnya adakah gula membahayakan kesihatan kita? Mengapa anda perlu kurangkan gula semasa Ramadan?

Seperti mana-mana jenis makanan, selagi mana ia dalam julat yang sederhana, ia tidak akan membahayakan kesihatan. Apabila terlebih, pelbagai masalah boleh berlaku. Kita perlu faham bahawa gula bukan hanya sekadar gula serbuk yang kita gunakan untuk membuat air atau penambah rasa masakan, tetapi gula juga ada terdapat di dalam makanan seperti sos cili, susu pekat manis (sudah tentu!), kek, yogurt atau air berkabonat. Malah, gula adalah kandungan utama di dalam sos cili. Patut la sedap sangat sos itu.

Adakah gula menyebabkan diabetes?

Ini mungkin antara pendidikan biasa yang diberikan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Fakta ini tidak sepenuhnya tepat. Gula secara bersendirian tidak menyebabkan diabetes.

Diabetes adalah penyakit yang kompleks, disebabkan oleh banyak faktor. Ia secara ringkasnya terbahagi kepada dua, iaitu diabetes jenis 1 dan 2.

Jenis 1 kebanyakannya tidak terkait dengan diet dan lebih kepada faktor genetik. Oleh itu, kebanyakan pesakit diabetes jenis 1 adalah kanak-kanak. Jenis 2 pula disebabkan oleh faktor diet dan genetik. Diet tersebut bukan sekadar gula, tetapi juga makanan yang boleh menggemukkan seperti lemak, kolesterol dan sebagainya.

Jadi, mengambil gula semata-mata tidak menyebabkan diabetes, tetapi ia boleh menambahkan berat badan serta meningkatkan risiko diabetes.

Sebab anda perlu kurangkan gula semasa Ramadan

Meskipun telah disebutkan di atas bahawa gula secara sendirian tidak menyebabkan diabetes, bukan bermakna anda boleh sewenang-wenangnya mengambil gula tanpa had. Semestinya tidak. Pengambilan gula masih perlu dikawal.

Mengapa?

1. Ramadan adalah waktu terbaik untuk bermula

Ini adalah waktu yang terbaik untuk membentuk tabiat pemakanan yang baik kerana kita lebih mudah mengawal apa yang kita ambil di bulan ini. Dengan waktu makan yang singkat, banyak diet yang tidak sihat boleh dikurangkan.

Apa yang penting, perlu ada tekad dan perancangan.

2. Gula menggemukkan

Gula adalah bahan bakar utama badan untuk menghasilkan tenaga. Tanpa gula tenaga tidak dapat dihasilkan. Namun jika jumlah pengambilan gula adalah melebihi keperluan badan, gula lebihan tersebut akan disimpan dalam bentuk lemak.

Semakin banyak lemak terkumpul, semakin naik berat badan. Nak naik senang, nak turun sangat payah. Oleh itu, fikir dulu sebelum makan.

3. Nafas anda lebih segar

Gula dan kerosakan gigi memang tidak dapat dipisahkan. Ibu bapa sering mengawal pengambilan gula kanak-kanak untuk mengelakkan kerosakan gigi. Orang dewasa juga perlu melakukan hal yang sama.

Gigi yang rosak dihuni oleh bakteria dan memberikan nafas yang berbau. Tidak cukup hanya dengan berus gigi, jangan lupa kurangkan gula.

4. Lambat lapar

Gula tidak mengenyangkan. Ia hanya akan memberikan keselesaan sementara yang hanya akan menambahkan rasa lapar selepas itu. Kenaikan kadar insulin hasil dari peningkatan kadar gula di dalam darah merendahkan tahap gula darah seterusnya menyebabkan rasa lapar.

Kurangkan gula dan lebihkan karbohidrat kompleks (nasi, roti, oat) untuk mendapatkan kekenyangan lebih lama.

5. Jimat duit

Anda pasti masih mahu beraya dengan tenang tanpa perlu mengambil hutang atau mengikat perut. Mengurangkan gula tentu boleh mengurangkan bajet perbelanjaan anda. Bukan sahaja baik dari sudut kesihatan, malah juga ekonomi!

Terdapat banyak lagi sebab lain mengapa anda perlu kurangkan gula. Zaman kini, terlalu banyak penyakit kronik yang melanda negara kita, terutamanya kencing manis dan tekanan darah tinggi. Penyakit-penyakit ini tidak datang sehari dua, tetapi bertahun-tahun.

Mulakan hari ini dengan menjalani gaya hidup lebih sihat. Ramadan adalah waktu yang terbaik sebagai permulaan. Jadi, kurangkan gula semasa Ramadan.

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

suka menulis, tak suka membaca