Siakap Keli
Foto: BBC/Daily Mail

(Video)’Hello Brother’, Filem Mengenai Tragedi Berdarah Dua Masjid Christchurch Kini Dalam Penggambaran

Kira-kira tiga bulan yang lepas, dunia telah telah digemparkan dengan tragedi berdarah apabila dua buah masjid di Christchurch, New Zealand telah diserang lelaki bersenjata api. Serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 jemaah terkorban dan 50 yang lain cedera.

Bercakap mengenainya, baru-baru ini pihak Daily Mail telah melaporkan bahawa sebuah filem mengenai kejadian itu sedang dihasilkan ketika ini.

Filem yang dinamakan sebagai “Hello Brother” ini telah diusahakan oleh pengarah dari Mesir, Moez Masoud(gambar) serta Rick Castañeda.

Moez Masoud(Foto: Bloomberg via Daily Mail)

Menurut Masoud, kejadian itu memberikan kesan mendalam dalam hidup ramai manusia dan ia perlu direkodkan(difilemkan). Mereka dikatakan sudah berniat mengusahakan filem ini sejak sembilan hari selepas serangan lagi.

Tajuk “Hello Brother” diambil daripada ucapan salah seorang mangsa apabila melihat penyerang memasuki kawasan masjid ketika serangan.

Kru bagi filem berkenaan dilaporkan sudah pun hadir ke Christchurch untuk berjumpa dengan para pegawai dan mangsa serangan yang terkorban, serta mangsa-mangsa yang terselamat.

Bagaimanapun, Masoud mengakui bahawa mereka akan menambah unsur dramatik dalam filem tersebut namun masih berharap untuk memberitahu kebenaran sebenar kepada orang ramai.

Akan tetapi, keputusan beliau untuk menghasilkan filem tersebut telah menerima reaksi yang bercampur-baur daripada pelbagai pihak.

Penduduk memberi penghormatan kepada mangsa(Foto: Daily Mail)

Persatuan Muslim Cantenbury(MAC) melalui presidennya berpendapat bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menghasilkan filem tersebut.

“Penghasilan filem ini terlalu awal, ia mungkin akan menyemarakkan lagi kes ini.”kata Shagaf Khan(Presiden MAC).

Beliau turut memberitahu pernah dihubungi oleh seorang penerbit filem dari Turki dua minggu selepas serangan, namun tidak mahu bercerita lanjut mengenainya.

Ketika kejadian menyayat hati itu, penyerangnya telah menyiarkan serangan itu secara langsung melalui akaun Facebook-nya. Suspek kini berada dalam tahanan polis dan mungkin berdepan hukuman penjara yang sangat lama.

Sumber: Stuff, Daily Mail

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi