Siakap Keli
Foto: Hello Doktor

Awas, 7 Bahana Jika Anda Makan ‘Laju’ Ketika Berbuka

Biasalah, ketika hampir tiba waktu berbuka puasa di bulan Ramadan, sudah pasti perut kita berasa sangat lapar dan tidak sabar untuk menikmati hidangan yang sudah berada di depan mata.

Mungkin atas sebab itulah ada sebahagian daripada kita seolah-olah ‘membalas dendam’ dengan makan dengan gelojoh atau melahap makanan dengan laju sebaik sahaja azan Maghrib  berkumandang.

Namun, tahukah anda makan dengan laju ketika iftar boleh mendatangkan akibat buruk kepada kita? Mari ikuti penjelasan yang dipetik daripada laman Hello Doktor ini.

Bahana makan laju termasuklah:

#1. Tercekik

Pertama sekali, makan terlalu laju akan menyebabkan anda tercekik. Ini kerana juadah yang dimasukkan ke dalam mulut masih belum dikunyah dengan sempurna. Ya, bagi anda, ia mungkin adalah satu kejadian yang normal sahaja. Namun begitu, tercekik sebenarnya boleh mendatangkan maut. Ini boleh terjadi apabila makanan tersangkut di kerongkong lalu menutup saluran pernafasan anda.

#2. Terlebih makan

Selain itu, makan terlalu laju akan menyebabkan anda akan terlebih makan daripada kuantiti yang sepatutnya sahaja. Ini kerana belum lagi makanan yang ada dalam mulut ditelan, makanan lain pula singgah di tempat yang sama. Akibatnya, anda akan menelan makanan yang masih lagi keras. Ia pula kemudiannya akan membawa kepada permasalahan seterusnya yang lebih membimbangkan.

#3. Sistem pencernaan perlu bekerja lebih keras

Disebabkan terlalu laju dan banyak makanan yang masuk ke dalam perut, sistem pencernaan anda perlu bekerja lebih keras. Ia kemudian akan menyebabkan usus mengalami kesukaran untuk membersihkan diri dan mencipta kembali sel untuk membantu menyerap nutrisi daripada makanan. Ini akan mengakibatkan makanan tidak dapat dicerna dengan baik lalu meninggalkan sisa zat dalam sistem pencernaan anda.

#4. Mendatangkan penyakit

Paling bahaya, makan terlalu laju juga akan mendatangkan pelbagai jenis penyakit. Ini kerana makan laju akan menyebabkan ketidakseimbangan gula dalam darah yang akan mengelirukan pengeluaran insulin. Disebabkan itu, sel akan menghadapi masalah untuk menyerap glukosa kerana insulin telah dihasilkan lebih atau kurang untuk menyerapnya.

Proses ini pula kemudiannya akan berupaya menjadi punca awal yang mengakibatkan pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, diabetes dan strok.

Konklusinya?

Menurut penyelidikan yang dikemukakan di simposium American Heart Association Scientific Sessions pada tahun 2017, makan dengan perlahan berupaya menjadi kunci penjagaan kesihatan dan tubuh badan kerana ia membantu melambatkan sindrom metabolik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tidak normal, diabetes serta obesiti.

Menurut satu kajian daripada Universiti Hiroshima, Jepun yang pada 2008 pula, semakin laju individu makan, semakin tinggi risiko mereka akan mengalami sindrom metabolik. Mereka juga menyimpulkan bahawa individu yang makan terlalu laju, cenderung untuk sukar berasa kenyang dan seterusnya akan makan lebih banyak.

Jika dilihat dari aspek agama juga, perbuatan makan secara gelojoh, lahap atau makan laju ini juga adalah tidak baik. Ini kerana ia juga sudah pasti tidak sihat untuk tubuh badan selain tidak mengikuti sunnah Nabi Muhammad S.A.W. yang meminta kita untuk mengunyah makanan sebanyak 44 kali agar ia hancur di dalam mulut dan mudah dicernakan di dalam perut. Tenang sahaja, dan mulakan iftar anda dengan kurma dan segelas air kosong. Usai solat Maghrib, nikmati juadah anda dengan perlahan-lahan.

Sumber: helloDOKTOR

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi