Siakap Keli
Gambar: Debt Free Life

Bekas Pengarah Dan Bekas Ahli Syarikat Dituduh Kerana Benarkan Pernyataan Palsu Diserahsimpan Di SSM

Dua individu bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 jika didapati bersalah di bawah Akta Syarikat 1965 seksyen 364(2) selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (2) Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Kedua-dua tertuduh tersebut berkenaan didakwa atas kesalahan telah membenarkan maklumat palsu dibuat dan diserahsimpan berkenaan butir material di dalam borang permohonan penutupan syarikat sebuah syarikat, iaitu satu dokumen yang diserahsimpan kepada Pendaftar di bawah seksyen 308(1) Akta Syraikat 1965.

Selepas satu siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dijalankan, organisasi itu mendapati bahawa material yang telah dibuat dan diserahsimpan tersebut adalah palsu dan tidak benar.

Kedua-dua tertuduh tersebut mengaku tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Hakim Tuan Mazdi Bin Abdul Hamid yang mengadili kes tersebut telah menetapkan tarikh 17 Jun 2019 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes tersebut bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Susulan daripada itu, SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan seperti ini adalah sangat serius kerana ia menjejaskan integriti maklumat yang disimpan di SSM. Tindak undang-undang yang tegas bakal dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta yang sedia ada.

Gambar: FB Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Gambar: FB Suruhanjaya Syarikat Malaysia

 

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Aqmal Ezany

I write what is right