Siakap Keli
Foto: FB Venus Gwc/Thuch Salik

(Video)Pernah Tular Boleh Cakap Banyak Bahasa, Lihat Perkembangan Terkini Kanak-Kanak Kemboja Ini

Pada tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki dari Kemboja, Thuch Salik telah menjadi tular selepas dirakam bercakap dengan pelbagai bahasa ketika cuba menjual barangan kepada seorang pelancong Malaysia.

Bagi anda yang sudah lupa, ini rakaman video yang dimaksudkan dan dikirimkan oleh Venus Gwc beberapa bulan yang lalu. Dalam video tersebut, beliau telah bercakap beberapa bahasa termasuklah bahasa Mandarin dan Melayu.

Ketika video itu tular tempoh hari, rata-rata menjangkakan kanak-kanak ini bakal mempunyai masa depan yang sangat cerah. Namun tak kurang juga ramai juga yang kasihan pada anak ini berikutan risau masa depan adik itu akan terbantut atas beberapa faktor termasuklah kewangan.

Berita baik bagi anda yang turut merasakan perkara sama, Thuch Salik yang kini berusia 14 tahun sekarang ini sedang melanjutkan pelajarannya ke China.

Menurut laporan Channel News Asia, segala perbelanjaan bagi pengajiannya di sana ditanggung oleh seorang ahli perniagaan Kemboja, Khit Chhern.

Salik dilaporkan akan menuntut di Sekolah Bahasa Asing Hailiang di daerah Zhejiang, menurut laman sohu.com.

Malah, beberapa orang pelajar dan staf sekolah berkenaan telah menyambut ketibaan beliau dengan jambangan bunga dan sedikit tarian di lapangan terbang. Video kejadian juga telah dikirimkan oleh Sola Khang di Facebook.

Sementara itu, Khit Chhern berharap agar Salik dapat menempuhi cabaran di sana, sebagai mana yang pernah dihadapinya sewaktu dahulu dan menjadi seorang insan yang berjaya di masa hadapan.

Berbalik kepada Salik, selepas beliau menjadi tular di Internet, ramai pihak yang datang untuk membantunya dan memberi sumbangan berbentuk wang tunai kepad beliau.

Segala wang yang diperolehi itu digunakannya untuk menanggung pembelajaran adik-beradiknya serta membayar hutang keluarga. Diharapkan agar Salik terus berusaha gigih untuk terus membantu mengubah nasib keluarganya di Kemboja selepas ini.

Sumber: Channel News Asia 

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi