Siakap Keli

Disangka Obes, Seorang ‘Lelaki’ Keguguran Setelah Tidak Mendapat Rawatan Segera Untuk ‘Bersalin’

Disangka obes, seorang ‘lelaki hamil’ yang datang ke hospital kerana mengalami kesakitan pada abdomen tidak mendapat rawatan kecemasan untuk melahirkan bayinya.

Pemuda berusia 32 tahun itu kemudiannya memberitahu jururawat di situ bahawa dia merupakan seorang wanita yang telah menukar jantina menjadi seorang lelaki beberapa tahun lalu. Bahkan, dia diklasifikasikan sebagai lelaki dalam sistem rekod perubatan.

Dalam jurnal kesihatan New England Journal of Medicine (NEJM), Dr. Daphna Stroumsa dari Universiti Michigan berkata, “Dia diklasifikasikan sebagai lelaki dalam rekod perubatan dan kelihatan maskulin. Hal ini membuatkan kita terlepas pandang keperluan perubatannya yang sebenar.”

Walaubagaimanapun, Stroumsa tidak menyatakan bila dan di mana kes tersebut berlaku serta merahsiakan identiti pesakit tersebut.

Pesakit tersebut yang tidak didatangi haid selama beberapa tahun sebelum itu mengambil hormon testosteron untuk mendapatkan fizikal seperti lelaki. Hormon tersebut dalam masa yang sama mampu mengurangkan penghasilan ovum dan haid. Walaubagaimanapun, dia telah menghentikan pengambilan ubat tersebut.

Ketika kejadian, pesakit tersebut menyatakan dia telah terbuang air (kemungkinan air ketuban yang pecah) dan datang ke hospital setelah mengalami kesakitan pada bahagian abdomen. Namun, disebabkan penampilan dan rekod perubatan yang menyatakan identitinya sebagai lelaki, jururawat menganggapnya stabil dan tidak serius.

Beberapa jam kemudian, seorang doktor memeriksanya dan melakukan ultrasound sebelum mendapati degupan jantung bayi tidak jelas serta kedudukan tali pusat yang telah memasuki saluran kelahiran.

Para doktor bersedia untuk melakukan pembedahan kecemasan cesarean tetapi ketika di dalam bilik bedah, degupan jantung bayi berkenaan telah berhenti sebelum ‘lelaki’ tersebut melahirkan anak yang tidak lagi bernyawa.

“Jika seorang wanita datang ke hospital dalam keadaan yang sama, dia akan dinilai dengan lebih menyeluruh untuk masalah yang berkaitan kehamilan,” kata penulis jurnal tersebut.

Lelaki transgender merupakan seorang perempuan ketika lahir. Ada antara mereka yang menggunakan hormon maskulinisasi atau pembedahan untuk membuang rahim dan ada juga yang tidak melakukan operasi tersebut.

Golongan transgender sering menghadapi masalah berkaitan penjagaan kesihatan jantina seperti pemeriksaan kanser serviks dan prostat serta kawalan kehamilan.

Sumber: AP

Amira

Love yourself.