Siakap Keli
Gambar: YADIM

Guru Tetap Dihormati Walaupun Sistem Pendidikan Negara Dikritik

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Hari ini adalah sambutan Hari Guru dan guru-guru masih tetap dipandang tinggi dan dihormati oleh rakyat Malaysia walaupun sistem pendidikan negara sentiasa mendapat kritikan.

Prof Datuk Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjalankan kajian mengenai keyakinan rakyat terhadap guru mendapati rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan umur menyanjung dan menghormati profesion perguruan.

“Ini adalah satu kejutan kerana terdapat kebimbangan mengenai persepsi umum mengenai sistem pendidikan yang merosot di Malaysia,” kata Syed Arabi yang menjalankan kajian dengan rakan penyelidikan Azrul Hisyam Wakichan.

Kajian yang bermula pada tahun 2016 hingga suku pertama tahun 2019, merupakan sebahagian daripada kajian berterusan mengenai isu semasa negara untuk mengukur sentimen rakyat mengenai kepentingan nasional. Keputusan itu adalah daripada temu ramah bersemuka dengan 6,914 responden berumur 21 hingga 51 tahun.

Sehingga 80 peratus responden dari pelbagai kaum dan kumpulan umur menyatakan keyakinan kuat mereka dalam profesion perguruan.

“Berjuta-juta generasi muda Malaysia pergi ke sekolah dan keluarga mereka menyerahkan takdir anak-anak mereka dalam pendidikan kepada guru. Mereka menyedari bahawa masa depan anak-anak mereka terletak pada guru yang baik dan pengorbanan yang dilakukan golongan pendidik ini.

“Terdapat guru yang berkorban dengan mengajar di kawasan pedalaman dan mempunyai kemudahan yang terhad.

“Gaji mereka mungkin tidak tinggi tetapi pengorbanan yang mereka sumbangkan kepada negara dan anak bangsa tidak ternilai,” kata Syed Arabi, mengapa kerjaya sebagai pendidik masih tetap dipandang tinggi oleh masyarakat.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa