Siakap Keli

Ngeri, Remaja Hamil Berhajat Dapatkan ‘Stroller’ Percuma Dibunuh Dan Perutnya Dibelah

Tiga orang suspek telah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan kejam seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Chicago baru-baru ini.

Seorang wanita berusia 46 tahun dan anak gadisnya berusia 24 tahun ditahan atas kesalahan membunuh dan bertindak kejam kepada bayi mangsa, manakala teman lelaki wanita berkenaan yang berumur 40 tahun ditangkap kerana didakwa menyembunyikan pembunuhan.

Menurut pihak polis, mangsa telah diminta untuk ke rumah suspek bagi mendapatkan pakaian dan stroller bayi percuma yang dijanjikan suspek untuk diberikan kepadanya.

Sebaliknya, beliau telah dicekik sehingga mati sebelum bayi dalam kandungannya itu dikeluarkan oleh suspek. Menurut laporan, kandungan tersebut sepatutnya dilahirkan pada bulan ini.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam tong sampah di belakang sebuah rumah di sana pada tengah malam Selasa manakala bayi mangsa pula sedang menerima rawatan di sebuah hospital di sana.

Dalam pada itu, suami mangsa tidak dapat menerima kematian isterinya kerana beliau adalah seorang yang baik hati dan tiada sebab untuk sesiapa membunuhnya serta anak mereka.

Ketua Polis Chicago, Eddie Johnson berkata bahawa tiada perkataan sesuai bagi menggambarkan betapa jijik dan mengganggunya kejadian ini. Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Ketiga-tiga suspek dijadualkan akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Sumber: Patch

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi