Siakap Keli
Sayang Sabah

Terima Anugerah Antarabangsa Sambutan Hari Guru Paling Bermakna Buat Mohd Sirhajwan

Seorang Guru Kolej Vokasional Keningau, Mohd Sirhajwan Idek, 31, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi Literasi 2019 Persatuan Antarabangsa bagi Teknologi Pendidikan (ISTE).

Anugerah itu diberi atas sumbangan Mohd Sirhajwan dalam bidang literasi bagi projeknya yang bertajuk ‘See & Say’ yang menggunakan konsep visual sebagai kemahiran bahasa kelima dalam penguasaan bahasa Inggeris.

ISTE merupakan organisasi pendidikan dari Amerika Syarikat yang menekankan penggunaan teknologi dalam pendidikan.

Pemenang anugerah ini diumumkan dalam blog Ketua Bersama Jaringan Literasi ISTE Mark Gura pada Rabu lepas.

Menerusi projek itu, Mohd Sirhajwan menerapkan kepelbagain jenis visual yang makin kerap digunakan dalam komunikasi zaman moden yang berasaskan Internet, media sosial dan alat mudah alih.

Mengulas mengenai anugerah itu, beliau berhasrat untuk memperkembangkan kajian dalam bidang visual yang dianggap sebagai kemahiran bahasa yang kelima selain daripada mendengar, menulis, bertutur dan membaca.

Katanya anugerah ini merupakan satu daripada beberapa ideanya yang berjaya diiktiraf di peringkat global.

Menurutnya pendekatan yang dinamakan ‘Think Tales’ dianugerahkan dengan SEAMEO-Australia Education Link Award pada tahun lepas.

Think Tales merupakan teknik pengajaran yang menggunakan cerita etnik Sabah untuk menggalakkan pelajar menulis dan menceritakan cerita legenda, kisah dongeng atau pengalaman lepas mereka yang berkait rapat dengan kepelbagaian budaya di negeri Sabah, katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Sirhajwan berkata bagi projek ‘Ideatrix’ yang dihasilkannya bertujuan membantu pelajar untuk menceburi bidang kajian, inovasi dan keusahawanan berjaya menjuarai anugerah Innovation & Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris pada 2017.

Beliau juga merupakan ketua pasukan sekolahnya yang terdiri daripada guru dan pelajar yang berjaya memenangi 11 pingat inovasi dan lima anugerah kajian di Itali, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

Mohd Sirhajwan berkata beliau bertekad untuk membuktikan bahawa tiada yang mustahil dan ingin memberi inspirasi kepada yang lain agar jangan putus asa dalam mengejar impian mereka.

BERNAMA

Helmi

"Write every day even if it is just a paragraph"