Siakap Keli
Foto: Goal.com/The Independent

Manchester City, Liverpool Bersaing Sekali Lagi Dalam Perlawanan Pertama Musim Hadapan

Selepas mensajikan pengakhiran dramatik dan menakjubkan kepada peminat bola sepak di seluruh dunia dalam menentukan juara Liga Perdana Inggeris tahun ini, Manchester City dan Liverpool sekali lagi akan bertemu dalam penentuan kejuaraan musim depan.

Kejuaraan yang dimaksudkan ialah Community Shield 2019, ‘piala’ pertama yang boleh dirangkul oleh kelab England pada musim depan. Seperti kebanyakan negara lain, pasukan yang akan berentap bagi merebut Community Shield ini adalah juara liga serta juara Piala FA.

Foto: Liverpool FC

Namun, disebabkan Manchester City adalah pemenang bagi kedua-duanya, ‘tiket’ mereka sebagai juara liga akan diambil alih oleh naib juara, Liverpool.

Kelab dari Manchester itu pada malam tadi telah berjaya merangkul Piala FA, piala ke-empat mereka(termasuk Community Shield 2018) bagi musim ini selepas menewaskan Watford dengan jaringan besar 6-0 di Wembley.

Pesta gol mereka bermula pada minit ke-26 hasil jaringan David Silva selepas keadaan kucar kacir di hadapan gawang lawan sebelum Gabriel Jesus menambah kelebihan dengan jaringan pada minit ke-38.

Selepas rehat separuh masa, Kevin De Bruyne berjaya mencatat nama sebagai penjaring apabila mudah menewaskan penjaga gol Watford, E. Moraes sebelum Jesus menjaringkan gol kedua beliau dalam perlawanan itu pada minit ke-68.

Foto: Goal.com

Dalam 10 minit terakhir perlawanan, Raheem Sterling telah menambah derita lawan selepas menjaringkan dua lagi gol, masing-masing pada minit ke-81 dan 87.

Tamat perlawanan, pasukan kendalian Pep Guardiola ini berjaya menewaskan Watford dengan jaringan 6-0 dan merangkul kejuaraan ke-empat mereka musim ini.

Berbalik pada perlawanan Community Shield, Manchester City berpeluang untuk mempertahankan piala dan mengecewakan Liverpool sekali lagi dalam perlawanan itu.

Manakala bagi Liverpool pula, memenangi kejuaraan yang kali terakhir dijuarai mereka pada 2006 itu pasti akan menjadi tonik terbaik bagi mereka sekali lagi mencabar kejuaraan liga musim depan. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: BBC

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi