Pagi ini kita dikejutkan dengan berita pemergian salah seorang chef selebriti yang terkenal, Chef Adam Mahamad Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam akibat jangkitan paru-paru.
Selain berkongsikan video masakan di laman Instagram-nya, arwah juga dikenali atas hubungan rapat beliau dengan anak saudaranya yang juga selebriti Internet, Fatimah dan Ali.
Sejurus selepas berita pemergian arwah tular, ramai netizen yang menonton semula video-video lama yang memaparkan hubungan rapat arwah dan mereka berdua.
Rata-rata mereka terharu dan tumpang sedih terutama apabila menonton satu video di laman Instagram thefamily.uk di mana Fatimah dilihat menangis apabila arwah Chef Adam meninggalkan mereka untuk pulang ke Malaysia.
Untuk makluman anda, Fatimah pernah merajuk dengan Chef Adam kerana beliau tidak datang melawatnya selepas satu program realiti TV yang disertai arwah berakhir. Hakikatnya, arwah tetap datang melawat Fatimah dan keluarga tidak lama selepas itu.
Selain itu, Fatimah juga pernah menyanyikan sebuah lagu yang ditujukan khas kepada arwah yang mesra dipanggil Mamajee oleh mereka. Lirik lagu itu menyuarakan betapa rindunya Fatimah kepada bapa saudaranya.
Berikut adalah antara komen-komen netizen yang dikutip daripada video-video di atas.
Orang ramai ternyata sedih memikirkan apakah yang dirasakan oleh Fatimah dan keluarga ketika ini. Diharapkan mereka sekeluarga tabah menghadapi dugaan dan semoga roh Chef Adam Mahamad Ismail ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: IG thefamily.uk