Lumut : Pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai awal tahun hadapan dijangka lebih rancak dengan pembukaan Lapangan Terbang Pangkor yang akan beroperasi semula pada 1 Okt ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata sebuah syarikat penerbangan, SKS Airways Sdn Bhd dijangka bakal memulakan operasinya dari Lapangan Terbang Subang ke lapangan terbang tersebut.
”Ini merupakan berita baik kepada rakyat negeri Perak khususnya penduduk Pulau Pangkor kerana kita sedia maklum bahawa Pulau Pangkor bakal melaksanakan pulau bebas cukai pada 1 Januari 2020.
”Kita akan mula operasi penerbangan ini untuk menyesuaikan diri selain mempromosikan Pulau Pangkor lebih awal lagi sebelum kita menguatkuasakan pulau ini sebagai pulau bebas cukai,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja bersama penggiat industri di Pulau Pangkor di sini hari ini.

Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak tahun 1993 dengan landasan kapal terbang sepanjang 732 meter, namun telah berhenti beroperasi sejak Februari 2014.
Sementara itu, Tan berkata pihaknya juga akan meneliti semula keadaan di Lapangan Terbang Pangkor bagi memastikan keselesaan dan keselamatan di lapangan terbang tersebut terjamin apabila ia beroperasi semula nanti.
”Kita akan lihat kekurangan dalam masa empat bulan ini untuk kita perbaiki termasuk dari segi tempat parkir kereta di kawasan itu.
”Hasil perbincangan dengan syarikat tersebut, syarikat itu akan menggunakan model Twin Otter yang boleh menampung 19 penumpang dan laluan itu akan beroperasi setiap hari dengan satu kali perjalanan pergi balik,” katanya.
Dalam pada itu, Tan berkata selain Pulau Pangkor, syarikat penerbangan berkenaan juga bakal membuka laluan baharu iaitu Subang-Ipoh yang akan beroperasi dua kali perjalanan pergi balik pada setiap hari, mulai 1 Okt ini.
”Dengan laluan baharu ini, ia akan membawa limpahan ekonomi khususnya di Pulau Pangkor iaitu kepada pemain industri pelancongan, makanan dan agensi pelancongan di Pulau Pangkor,” katanya.
Sumber : Bernama