Siakap Keli
Gambar: Wikipedia

3 Stesen LRT Laluan Sri Petaling Ditutup Sementara Pada 9, 16 Dan 23 Jun

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Tiga stesen perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling iaitu stesen LRT Bandaraya, stesen LRT Sultan Ismail dan stesen LRT PWTC akan ditutup sementara dari pukul 6.00 pagi hingga 9.00 pagi pada 9, 16 dan 23 Jun ini bagi kerja-kerja menaik taraf landasan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata sepanjang tempoh itu, tren dari Ampang dan Putra Heights akan berakhir di Stesen LRT Bandaraya, manakala tren dari Sentul Timur akan berakhir di Stesen LRT PWTC.

“Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan di antara stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT PWTC dengan kekerapan 15 minit.  Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan trafik. Kemudahan ini bagi memastikan pengguna yang terlibat dapat meneruskan perjalanan dengan lancar dan selesa,” menurut kenyataan itu.

Manakala pengguna yang ingin ke stesen LRT Sultan Ismail dinasihat mendapatkan perkhidmatan bas percuma di stesen LRT Bandaraya atau stesen LRT PWTC.

Prasarana dalam kenyataan sama memaklumkan pada 9, 16 dan 20 Jun, sebahagian daripada Jalan Merpati yang terletak berdekatan stesen LRT Sultan Ismail akan ditutup dari jam 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi sebagai langkah keselamatan kerana terdapat peralatan berat digunakan untuk kerja naik taraf.

Penduduk sekitar Jalan Merpati dinasihatkan memarkir kenderaan mereka di kawasan letak kereta awam yang bertentangan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwok.

Pengguna boleh melayari laman sesawang www.myrapid.com.my atau berinteraksi dengan petugas MyRapid menerusi menerusi Facebook dan Twitter @Myrapid untuk maklumat lanjut.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa