Butterworth : Mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, ditemui terapung dalam Sungai Perai, bersebelahan Ampang Jajar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mayat tanpa pakaian itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.10 pagi, sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu. Terdapat kesan luka di bahagian dada, lengan sebelah kiri dan bahagian punggung lelaki tersebut,” katanya di sini.
Katanya lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu disyaki telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung.
Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan orang ramai yang kehilangan anggota keluarga boleh menghubungi mana-mana balai polis untuk membuat pengecaman.
Sumber : Bernama