Siakap Keli
Foto: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia - APM Daerah Kuala Lumpur

Tiga Buruh Binaan Nyaris Maut Dalam Runtuhan Konkrit Bangunan

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Tiga buruh binaan terselamat dalam runtuhan konkrit melibatkan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Stesen LRT Putra Terminal Gombak, di sini, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata dua warga Indonesia berjaya diselamatkan awal pagi tadi manakala seorang lagi mangsa warga Bangladesh didapati tersepit tangan  dalam runtuhan tersebut bagaimanapun ditemui dan dikeluarkan enam jam kemudian.

“Seorang mangsa ditemui pada 7.16 pagi dengan keadaan tangannya tersepit serta remuk, kami terpaksa membuat keputusan untuk memotong sedikit tangannya sebelum mengeluarkan mangsa dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

“Punca runtuhan dipercayai oleh kelemahan struktur namun siasatan masih dijalankan. Runtuhan melibatkan laluan masuk ke parkir sementara manakala pembinaan itu akan dihentikan buat seketika,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Nordin berkata pihaknya masih menjalankan rondaan menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) bagi mengesan jika masih terdapat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, M. Murugiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada kira-kira 1.13 pagi dan menghantar jentera ke tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya mengerahkan 46 anggota dari balai bomba Wangsa Maju dan Gombak Selatan ke tempat kejadian.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi