Siakap Keli

Media Dedah Amerika Syarikat Cuba Pujuk Korea Selatan Sekat Produk Huawei

Media antarabangsa, CNBC yang memetik laporan akhbar tempatan berkata, kerajaan Amerika Syarikat telah melobi pemerintah Korea Selatan supaya memboikot penggunaan produk keluaran Huawei di negara tersebut.

Usaha yang dijalankan oleh kerajaan Uncle Sam itu dikatakan sebahagian daripada proses untuk mendapatkan lebih banyak sokongan antarabangsa dalam menolak penggunaan produk berteknologi tinggi daripada firma gergasi China itu.

Lapor media berkenaan, dalam satu pertemuan diantara pegawai kerajaan Amerika Syarikat dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, meningatkan bahawa LG Group, pengguna kelengkapan Huawei, supaya ”tidak dibenarkan beroperasi dalam kawasan sensitif di Korea Selatan”.

Malah, media turut melaporkan sebahagian daripada hasil pertemuan tersebut adalah Amerika Syarikat berpendapat Huawei perlu ditunjukkan ‘jalan keluar’ daripada Korea Selatan, walaupun tidak secara tergesa-gesa.

Sebelum ini, Washington dilaporkan sedang memujuk rakan sekutunya untuk sama-sama terlibat dalam usaha memboikot produk keluaran Huawei yang dikatakan berisiko digunakan untuk tujuan perisikan serta serangan saiber, satu dakwaan yang sudah dinafikan oleh Huawei.

Kempen anti-Huawei mula berjalan sejak minggu lepas apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani arahan eksekutif yang melarang penggunaan produk Huawei dalam rangkaian telekomunikasi negara tersebut. Arahan tersebut juga menyekat firma China itu daripada membeli produk-produk berteknologi tinggi daripada Amerika Syarikat.

Walaupun Amerika Syarikat adalah rakan sekutu Korea Selatan, tetapi China merupakan negara pasaran eksport terbesar negara terkenal dengan musik K-Pop itu. Menurut rekod, satu per empat eksport Korea Selatan bagi empat bulan pertama tahun ini adalah untuk pasaran China.

Sumber: CNBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.