Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Google)

Bakal Ganti Petrol? Syarikat Ini Dakwa Berjaya Kenderaan Bergerak Guna Bahan Api Dari Air

Sejak kebelakangan ini, antara keluhan yang sering kita dengar ialah harga petrol yang kian meningkat. Ia sekaligus menyebabkan pengguna kenderaan terutama kereta pening kepala memikirkan kos yang terpaksa ditanggung hanya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Bagaimanapun, masalah itu mungkin akan dapat diselesaikan dalam beberapa tahun mendatang. Ini kerana sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China, Qingnian Cars mendakwa mereka telah berjaya menghasilkan sebuah kenderaan yang boleh bergerak hanya menggunakan air(H2O).

Foto: Baidu/SCMP

Ketua Eksekutif syarikat berkenaan, Pang Qingnian(gambar) berkata, kenderaan yang dibangunkan mereka itu mampu bergerak sejauh 300 hingga 500 kilometer dengan menggunakan 300 ke 400 liter air selepas diuji.

“Enjin kenderaan ini berfungsi melalui hidrogen yang dihasilkan oleh reaksi kimia daripada campuran serbuk aluminium dan air,” terang Pang lagi.

Tambahnya lagi, mereka berjaya menghasilkan prototaip bagi kenderaan tersebut dengan menggunakan kos yang amat rendah. Akan tetapi, kos sebenar bagi projek ini terpaksa dirahsiakan.

Prototaip kenderaan berkuasa hidrogen(Foto: Baidu/SCMP)

Walaupun projek ini masih di peringkat prototaip, ia boleh menjadi pemangkin kepada pengeluaran kenderaan berkuasa hidrogen lain di masa hadapan. Antara kebaikannya ialah kadar pencemaran udara akan dapat dikurangkan dan pengguna tidak lagi perlu menanggung kos yang mahal bagi membeli petrol.

Sebelum ini, beberapa pengeluar lain mendakwa mereka telah menghasilkan kenderaan dengan teknologi sama namun kebanyakan daripada mereka gagal dipasarkan.

Sumber: SCMP

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi