Selepas beberapa kerajaan negeri mengumumkan akan memberikan bantuan hari raya, kini tiba pula kerajaan negeri Kelantan untuk melakukan perkara yang sama.
Walau bagaimanapun, bantuan hari raya yang dimumkan itu tidak termaktub untuk kesemua kakitangan kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang lain. Sebaliknya, ianya akan diberi kepada beberapa jawatan/golongan sahaja.
Pengumuman tersebut diumumkan menerusi akaun Facebook milik Menteri Besar Kelantan sendiri. Menurutnya, bayaran elaun sebanyak RM250 akan diberikan oleh kerajaan negeri untuk tahun ini.
Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan sendiri oleh Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, Menteri Besar Kelantan:
KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR KELANTAN
BAYARAN ELAUN/BANTUAN HARI RAYA KEPADA SEMUA PENGHULU, PEGAWAI HALAQAT, PENYELARAS PEMBANGUNAN ARMALAH DUN, PENYELARAS PEMBANGUNAN ORANG KURANG UPAYA (OKU), PENYELARAS ICT DUN NEGERI SERTA GURU AL-QURAN DAN FARDHU AIN
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019/1440, Majlis Mesyuarat Kerajaan telah membuat keputusan bersetuju untuk memberikan elaun (bantuan hari raya) berjumlah RM250 kepada semua penghulu, pegawai halaqat, penyelaras pembangunan armalah DUN, penyelaras pembangunan orang kurang upaya (OKU), penyelaras ICT dun negeri serta guru al-quran dan fardhu ain.
Elaun khas ataupun bantuan hari raya ini akan disalurkan kepada semua yang berkenaan sebelum sambutan Hari Raya Adilfitri tahun ini.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
22 Ramadhan 1440H/27 Mei 2019M
Sumber: FB Dato’ Ahmad Yakob