Siakap Keli
Foto: FB Mamat Khalid/Astro

(Video)”Abang Cuma Dapat 50 Sen Sekali Langganan”, Mamat Khalid Sedih Filem 17 Puasa Dicetak Rompak

Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid adalah pengarah dan pelakon yang terkenal, terutamanya kepada peminat genre komedi.

Antara hasil karya beliau yang mendapat sambutan hangat ialah siri Rock, Hantu Kak Limah serta 16 Puasa. Bercakap mengenai 16 Puasa, sekuel bagi filem itu baru sahaja ditawarkan di Astro First beberapa hari yang lepas.

Namun, apa yang menyedihkan, baru-baru ini sudah mula kelihatan pautan-pautan muat-turun bagi filem tersebut disebarkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab di media-media sosial terutamanya Facebook.

Perkara itu turut disedari oleh Mamat Khalid dan beliau jelas sedih dan kecewa dengan tindakan mencetak rompak hasil karyanya itu. Beliau telah meluahkan kekecewaannya dalam satu kiriman di Facebook-nya beberapa jam lepas.

Supertele #17puasa ini kami usahakan dengan modal yang dikumpul bersama-sama keluarga dan sahabat taulan abang. Masing2 ‘cip-in’ untuk mencukupkan bajet bagi abang berkarya. Selepas keluar hospital masa tu semangat abang untuk turun mengarah amat tinggi dan mereka tahu ini adalah satu terapi bagi abang mengembalikan semangat dan kesihatan diri yang semakin hari semakin nipis nafasnya.

Benar! Semasa penggambaran abang menjadi bertenaga dan sentiasa bergegas for the next shot and scenes. Jika abang tak mampu untuk turun mereka sediakan video feed untuk abang membuat penilaian.

Alhamdulillah semuanya siap dan selamat ditayangkan atas izin Allah dan sumbangan tenaga warga produksi yang sememangnya profesional dan kuat berkerja.

Cuma pagi ini sudah mula menular pautan muat-turun drama 17 Puasa ini di FB atas usaha mereka yang ingin berkongsi tonton tanpa bayaran kerana dalam pandangan mereka ianya amat kecil dan remeh untuk difikirkan implikasinya kepada abang. Jangan la. Abang dapat cuma rm0.50 sekali subscription setelah ditolak kongsi bersama station serta modal pelaburan sahabat taulan.

Seniman biasa menangis lagi mengenangkan tiada yang sanggup melabur dalam karya abang lagi jika setiap kali dicetak rompak dan dimuat-turun percuma dengan penuh rasa tidak bersalah.

Perkara ini bukan pertama kali terjadi di negara kita. Sebelum ini, beberapa pengarah juga pernah menyuarakan kekecewaan mereka selepas karya mereka dicetak rompak atau disiarkan secara langsung di Facebook.

Malah, ada juga pelaku yang sudah dibawa ke muka pengadilan. Jadi, jika anda pernah atau bercadang untuk berkongsi atau memuat-turun kandungan media secara cetak rompak, fikirkanlah semula.

Tonton video trailer 17 Puasa di bawah:

Sumber: FB Mamat Khalid

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi