Siakap Keli
Gambar : Trekearth

Adakah Pergi Ke Baitul Maqdis Sumbang Kepada Ekonomi Israel? Mufti Beri Penjelasannya

Beberapa hari ini hangat diperkatakan tentang Baitul Maqdis atau Jerusalem iaitu sebuah kota lama yang dahulunya pernah menjadi ibu kota Negara Palestin. Bandar yang dahulunya pernah disebut sebagai kota suci bagi semua agama samawi terbahagi kepada empat kawasan seperti Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia.

Kota yang penuh tamadun dan budaya ini mencipta kontroversi perjanjian yang ditandatangi oleh Israel dan Jordan pada 1949 telah membahagikan tempat ini kepada dua iaitu Baitul Maqdis Barat dan Baitul Maqdis Timur. Walaubagaimana pun Israel terus menerus menguasai kota berkenaan dan mengisytiharkannya sebagai ibu negara mereka.

Dan disebabkan persoalan hukum pergi ke Baitul Maqdis yang mula timbul sehari dua ini, kami telah lampirkan penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai kekeliruan ini. Menurut beliau,

Terdapat tiga fakta penting untuk kita ingati mengenai Islam dan Baitul Maqdis:

[1] Di dalam sejarah Baitul Maqdis, sejak zaman Nabi Dawud AS sehingga ke hari ini, pemerintahan yang paling lama adalah pemerintahan Islam.

[2] Umat Islam mengekalkan kesucian Baitul Maqdis sehingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

[3] Umat Islam mewujudkan dan mengamalkan karakter agama yang penuh toleransi dan keimanan terhadap Baitul Maqdis.

Hukum Ziarah Baitul Maqdis Pada Masa Kini

Inilah persoalan pokok dan asas perbincangan berkenaan dengan tajuk ini. Pernah satu ketika Ketua Qadi Palestin al-Syeikh Taisir al-Tamimi mengundang tokoh ulama termasuk Syeikhul Azhar sekarang Syeikh Ahmad Tayyib untuk menziarahi Baitul Maqdis khususnya Masjidil Aqsa  tetapi beliau enggan dengan alasan ia terpaksa menggunakan visa Israel seolah-olah mengiktiraf kedaulatannya.

Justeru ramai di kalangan tokoh ulama yang menyokong pendapat ini dan tak kurang juga yang menentangnya. Sebelum daripada ini Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga telah memberi pendapat yang sama bahawa tidak harus menziarahi Masjidil Aqsa pada masa kini. Antara yang mengajak supaya menziarahi Kota Quds ialah Menteri Waqaf Mesir.

Gambar : Media Adil

Pendapat Yang Tidak Membenarkan Dan Alasannya.

Antara hujahan mereka yang tidak membenarkan bagi umat Islam untuk menziarahi Baitul Maqdis ialah :

  • Dengan menziarahi Baitul Maqdis, maka sudah pasti setidak-tidaknya kita berurusan dengan kerajaan Israel, justeru mengiktiraf mereka, sedangkan kita dilarang sama sekali mengiktiraf mereka. Ini adalah masalah visa Israel.
  • Begitu juga dengan mengunjungi Baitul Maqdis, setidak-tidaknya kita telah memberi keuntungan ekonomi pada mereka, pada ketika itu sebenarnya kita telah menolong dan memperkuatkan kedaulatan mereka.
  • Musafir ke Baitul Maqdis untuk solat di Masjidil Aqsa membawa kepada fitnah terutamanya kepada wanita muslimah dan harta.
  • Golongan Yahudi mendapat manfaat dari ziarah umat Islam seperti gambaran keadaan mereka yang baik dan bertoleransi di samping menghalang kebangkitan orang Palestin.
  • Mereka mengiaskan sama seperti menolong tuan punya riba bahkan lebih teruk daripada itu kerana terpaksa menolong musuh-musuh Islam yang ingin merosakkan Islam dan umatnya. Daripada Aus bin Syurahbil, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

Siapa yang berjalan bersama orang yang zalim untuk menolongnya sedangkan ia mengetahui bahawa orang itu zalim, maka sebenarnya ia telah keluar daripada Islam.”

Riwayat al-Tabarani (619) dalam Mu’jam  al-Kabir.

  • Syeikh Dr. Abdul Hayy Yusuf, Profesor di Universiti al-Khartoum, Sudan berpendapat tidak menjadi masalah berada di bumi Palestin kerana umat Islam perlu menyedari bahawa bumi Palestin bukan bumi Yahudi. Tetapi, tatkala dikuasai oleh Yahudi dengan membunuh, menindas dan menzalimi umat Islam maka tidak lagi harus bagi orang Islam memasukinya kerana mengiktiraf dan mengiyakan untuk mereka memiliki harta umat Islam.

Pendapat Yang Mengharuskan Untuk Menziarahi Baitul Maqdis

Ramai juga para ulama yang mengharuskan untuk seseorang mengunjungi Baitul Maqdis termasuk umat Islam. Antara mereka yang membenarkannya ialah Dr. Saud al-Funaisan salah seorang ulama Saudi  dengan alasan seperti berikut :

  • Kerana Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Bahkan hadis yang sahih menyebut : Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda

Maksudnya:

“Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan ketiga destinasi, iaitu Al-Masjid al-Haram, Masjidku (Al-Masjid Al-Nabawi), dan al-Masjid al-Aqsa.”

Riwayat Bukhari (1189) dan Muslim (1397)

  • Masjidil Aqsa sebagai tempat yang mulia dan diberkati Allah disebut dengan kalimah barakat seperti mana dalam al-Quran

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Isra’: 1)

Gambar : Picwe
  • Sebenarnya menziarahi Baitul Maqdis dengan mengambil visa perjalanan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu mengiktiraf Israel di samping nas jelas menggesa ke arah ziarah tersebut.
  • Rasulullah SAW pernah ziarah Masjidil Haram, tawaf dan solat serta berumrah dengan Umrah Qadha’ pada tahun ke 7 Hijrah sedangkan ketika itu ia dibawah cengkaman orang musyrikin lagi.
  • Dengan menziarahi Baitul Maqdis untuk solat di Masjidil Aqsa sudah tetntu menjadi penguat kepada dunia bahawa ia milik orang Islam dan mereka tidak lupa dalam ingatan mereka.
  • Ziarahnya kita ke Baitul Maqdis memberi sokongan maknawi kepada umat Islam di sana tatkala kita melihat mereka dan bercampur dengan mereka dan sudah barang tentu akan menguatkan keazaman meraka dengan bicara yang baik dan menggalakkan mereka kekal sebagai murabitin.

Tarjih

Setelah meneliti pendapat yang menyokongnya untuk menziarahi Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis dan juga pendapat yang menentangnya dengan tidak membenarkan sama sekali, maka kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menziarahi Masjidil Aqsa. Ini berdasarkan nas hadis yang menunjukkan galakan untuk menziarahi Masjidil Aqsa dan beribadat padanya. Walaubagaimanapun, perlu ada beberapa dhawabit dan syarat padanya:

  • Tidak mengiktiraf kedaulatan Baitul Maqdis sebagai tanah wilayah mereka (Israel).
  • Menjauhkan segala bentuk yang memberi manfaat dan maslahah yang banyak kepada pihak Zionis.
  • Berhubung dengan pihak dan warga Palestin ketika mengunjungi Baitul Maqdis sebagai pemandu pelancong.
  • Ziarah tersebut untuk menolong umat Islam di sana.
  • Pergi ke sana semata-mata untuk solat di Masjidil Aqsa seperti mana yang dinaskan dalam Hadis bukan di tempat yang lain.
  • Bukan ziarah untuk melancong ke tempat-tempat yang lain.
  • Elakkan mendiami hotel milik Yahudi seupaya mungkin.

Di sana terdapat keputusan yang menyokong keputusan tarjih di atas antaranya melalui :

  • Muktamar antarabangsa yang pertama bertajuk “Jalan ke Kota Baitul Maqdis”. Ia dilangsungkan di Amman, Jordan yang disusun oleh Lajnah Wakil Rakyat Palestin di Parlimen Jordan dengan kerjasama Universiti Ulum Islamiah ‘Alamiah dan Parlimen Arab pada 28 Jamadil Akhir hingga 1 Rejab 1435 Hijrah. Dalam resolusi muktamar tersebut antara lain bertujuan mengembalikan Baitul Maqdis kepada umat Arab dan Islam.
  • Para ulama yang menyertai muktamar tersebut dari pelbagai negara telah mengemukakan Fatawa Jamai’e supaya boleh menziarahi Baitul Maqdis berdasarkan dhawabit asas di samping meraikan maslahah penduduk Kota Baitul Maqdis dan memberi bantuan kepada mereka secara maddi dan maknawi di samping tidak mendukung citi-cita Zionis. Fatwa ini dan keputusan resolusi telah disebarkan pada 23 Mei 2014.
  • Darul Ifta’ Palestin sendiri telah bersetuju dengan keputusan di atas. Sedangkan ulama di sana lebih mengetahui akan hakikat dan realiti umat Islam yang hidup di sana.
Gambar : Al-Aqsa

Berdasarkan kenyataan di atas, saya berpendapat bahawa harus menziarahi Baitul Maqdis khususnya Masjidil Aqsa dengan dhowabit yang telah diberikan. Semoga Allah merahmati kita dan juga sebarang usaha kita ke arah meninggikan syiar dan syariat Islam.

Penutup 

Selepas meneliti pelbagai pandangan kami merasakan bahawa perselisihan berlaku samada adanya pengiktirafan kepada Israel atau tidak. Kedua-dua pandangan tidak mengiktiraf kedaulatan Israel. Justeru kepada mereka yang lebih selesa dengan pendapat tidak membolehkannya, maka mereka jangalah pergi sehingga bumi Baitul Maqdis atau Palestin menjadi milik umat Islam.

Saya pernah bertanya kepada Fadhilah Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili apakah cita-citanya? Antaranya beliau menjawab : Aku bercita-cita aku sempat solat di Masjidil Aqsa dalam keadaan ianya terbebas dari belenggu penjajahan Zionis. Itulah semangat seorang tokoh ulama masa kini yang cinta dan sayangkan Masjidil Aqsa.

Kepada mereka yang ingin pergi maka janganlah mengiktiraf  kedaulatan Israel dan redha kepada mereka sebagaimana nas al-Quran dan Hadis. Disamping itu mereka hendaklah meraikan dhawabit yang telah dinyatakan. Saya juga mengesyorkan jka seseorang yang ke sana maka bantulah saudara seIslam Palestin yang memerlukan bantuan untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki ini. Semoga Allah merahmati ulama Islam semuanya dalam memberi petunjuk dan bimbingan kepada ummah ke arah yang terbaik.

Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan mutiara kata indah daripada Panglima Islam yang terkenal Salahuddin al-Ayyubi :

“Sesiapa yang dapat menguasai Jurusalem (Palestin) nescaya dia akan dapat menguasai dunia.”

Renunglah kata-kata ini. Akhukum Fillah,

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.