Siakap Keli
Foto: The Mag/Naija News

Bakal Diambil Alih Saudagar Timur Tengah, Newcastle United Bakal Jadi ‘Next Man City’ EPL?

Chelsea, Manchester City dan PSG adalah antara kelab bola sepak yang mula membangun pesat selepas diambil alih oleh para jutawan. Ternyata setiap sen yang dilaburkan oleh pemilik kelab berkenaan bukanlah sia-sia apabila mereka mula merangkul banyak kejuaraan beberapa tahun selepas diambil alih.

Mungkin itulah yang diharapkan oleh para penyokong Newcastle United di seluruh dunia ketika ini apabila kelab kesayangan mereka kini semakin hampir dibeli oleh billionair Dubai, Sheikh Khaled bin Zayed al Nahyan melalui syarikatnya, Bin Zayed Group dengan harga £350 juta(~RM1.85 billion).

Proses pemilikan itu dikatakan sedang berada pada fasa akhir di mana kedua-dua belah pihak iaitu Bin Zayed Group dan Newcastle telah pun mengesahkan rundingan itu semakin hampir menemui penyelesaian.

Syeikh Khaled juga adalah sepupu kepada pemilik juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Syeikh Mansour bin Zayed al Nahyan dan keluarganya dilaporkan memiliki kekayaan sejumlah £150 billion(~RM800 billion).

Pertembungan Man City vs Newcastle pasti jadi lebih menarik musim depan(Foto: Premier League)

Beliau juga sebelum ini dikatakan pernah cuba untuk membeli kelab Liverpool FC dengan nilai £2 billion(~RM10.5 billion) namun bidaannya ditolak oleh pemilik kelab berkenaan.

Untuk rekod, Newcastle United pernah menjadi sebuah pasukan yang digeruni sekitar lewat era 90-an di mana mereka ketika itu dianggotai oleh pemain-pemain hebat seperti Alan Shearer, Shay Given dan Stuart Pearce.

Pasukan yang dibimbing oleh Rafa Benitez sejak tahun 2016 menamatkan saingan musim lepas di tempat ke-13 walaupun kurang disokong dari segi kewangan oleh pemilik semasa, Mike Ashley.

Sekiranya pengambil-alihan ini menjadi kenyataan, mungkin kita akan lihat gergasi baharu dalam bola sepak dunia pada musim hadapan. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Sky Sports

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi