Siakap Keli
Foto: Technote

Dikaitkan Dengan Isu Keselamatan, Ini Rupanya Punca ‘Pertelingkahan’ AS Dengan Huawei

Pada minggu lepas, kita digemparkan dengan berita mengenai penarikan lesen Android oleh Gooogle ke atas syarikat pengeluar telefon pintar dari China, Huawei.

Berita ini mencetuskan huru-hara pada sebahagian daripada kita terutama kepada para pengguna Huawei di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kita dapat lihat beberapa pemilik peranti Huawei dan HONOR(sub-jenama Huawei) mula menawarkan telefon milik mereka dengan harga murah secara atas talian.

Bukan sahaja Google, beberapa syarikat lain turut telah memutuskan hubungan kerjasama atau jual beli dengan syarikat dari China itu seperti Panasonic, ARM serta Qualcomm.

Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Huawei dengan Amerika Syarikat(AS) sehingga mereka terpaksa menghadapi semua ini.

Oleh itu, pada kali ini, mari kita sama-sama menyelami dan memahami perkara sebenar yang terjadi di sebalik kejadian ini secara ringkas.

AS Tuduh Huawei Mengintip Mereka

Walaupun dua pihak ini mengalami masalah sejak bertahun lamanya, namun ketegangan di antara mereka memuncak sejak tahun lepas apabila kerajaan AS telah menuduh Huawei telah mengintip mereka melalui perkakasan teknologi mereka termasuk telefon pintar.

Sebuah lagi syarikat yang menghadapi tuduhan sama ialah ZTE. Pada tahun 2011, Huawei dan ZTE telah disiasat selama 11 bulan oleh pihak Amerika dan mereka telah diklasifikasikan sebagai ‘tidak boleh dipercayai’.

Huawei dituduh telah menghantar maklumat secara rahsia kepada kerajaan China melalui perkakasannya, namun bukan melalui telefon pintar. Bagaimanapun, Huawei menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Perang Dagangan AS-China, Tarif Tinggi Mula Dikenakan

Gambar Hiasan(Foto: Business Insider)

Tahun 2018 menjadi titik permulaan perang perdagangan antara dua negara gergasi ini. Ia bermula apabila kedua-dua negara mula meletakkan tarif dan cukai dagangan antara satu sama lain.

Pihak AS melihat pelan industri ‘Made in China 2025’ sebagai ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan negara Uncle Sam berkenaan. Selain itu, mereka telah mengenakan tarif sebanyak $250 billion terhadap produk China.

China tidak mahu duduk diam dan mereka turut menaikkan tarif yang dikenakan ke atas produk AS selepas mendakwa kerajaan Amerika mengumumkan ‘perang dagangan terbesar dalam sejarah setakat ini’.

Pegawai Huawei Ditahan Di Merata Tempat

Antara perkara yang menjadi tumpuan pada tahun 2018 ialah penahanan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou di Vancouver, Kanada. Tidak lama selepas itu, China pula menahan dua orang warga Kanada kerana didakwa menggugat keselamatan negara.

(Foto: CNBC)

Tidak cukup dengan itu, seorang lagi pekerja Huawei telah ditahan di Poland kerana disyaki mengintip mereka. Berikutan itu, Poland mengumumkan mereka mungkin tidak akan menggunakan teknologi 5G daripada Huawei.

Kes-Kes Lain..

Selain daripada itu, pada tahun awal tahun ini, kerajaan Amerika Syarikat telah mendakwa Huawei berkaitan dengan 13 kes berbeza antaranya kecurian data IP, menjalankan hubungan perniagaan dengan Iran serta penipuan bank.

Walaupun Huawei telah menafikan semua tuduhan berkenaan, kerajaan Amerika Syarikat mendakwa mereka mempunyai bukti bagi setiap pertuduhan yang dikenakan namun tiada satu pun yang telah didedahkan secara umum.

Berikutan perkara itu, kerajaan AS didakwa telah memujuk beberapa negara lain untuk turut menghentikan penggunaan produk teknologi Huawei.

Maka dengan itu, dakwaan mengenai Apple menjadi punca segala yang terjadi kepada Huawei ini sebenarnya adalah kurang tepat.

Jadi, Pemilik Telefon Huawei Perlu Risau Atau Tidak?

Jika anda seorang yang mementingkan kemaskini Android, mungkin anda sedikit terkesan dengan perkara ini. Namun jika tidak, anda tidak perlu risau.

Ini kerana pihak Google mengesahkan bahawa produk Huawei sedia ada masih lagi boleh menggunakan servis mereka tanpa sebarang masalah. Aplikasi-aplikasi anda masih lagi boleh dikemaskini melalui Google Playstore.

Malah, anda juga masih boleh memuat-turun aplikasi di gedung aplikasi berkenaan setakat ini. Tambahan pula, Donald Trump baru-baru ini membuka ruang rundingan dengan Huawei bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Diharapkan perbincangan itu akan dapat menemui penyudah terbaik bagi kedua-dua pihak serta pengguna di seluruh dunia.

Maka diharapkan dengan perkongsian ini dapat serba sedikit menjelaskan mengenai perkara yang berlaku di antara Amerika dan Huawei ketika ini.

Sumber: Android Authority, CNET, Computer World UK

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi