Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Automology/The Tribune)

Hati-Hati, Ini Dua ‘Tidur’ Yang Boleh Membunuh Ketika Pulang Ke Kampung Untuk Beraya

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1440 Hijiriyah/2019 Masihi. Dijangkakan pada hujung minggu ini, ramai rakyat Malaysia yang bakal mula berpusu-pusu bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing.

Keterujaan untuk tiba ke kampung untuk berkumpul bersama keluarga tercinta menjadi sebahagian daripada kita tidak sabar untuk tiba ke kampung halaman secepat mungkin.

Akan tetapi, ia juga boleh memberikan kesan buruk terutamanya jika kita mengabaikan rasa penat dan mengantuk sehinggakan tetap meneruskan pemanduan walaupun sudah berasa sangat letih.

Perkara-perkara sebeginilah yang menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini seperti kemalangan jalan raya akibat daripada tertidur sebentar semasa memandu atau lebih dikenali sebagai ‘microsleep’.

Apakah Itu Microsleep dan Punca Ia Berlaku

Sesuai dengan namanya, microsleep ini adalah tidur sebentar, biasanya dalam 2 hingga 30 saat tanpa disedari oleh pelaku dan ia berbeza dengan satu lagi perbuatan tidur sebentar yang dipanggil ‘nap’.

Nap dilakukan secara sedar oleh pelaku namun tidak bagi microsleep dan biasanya microsleep ini merbahayakan nyawa kerana ia sering berlaku ketika seseorang itu sedang memandu kenderaan.

Gambar Hiasan(Foto: Reyeslaw)

Microsleep ini biasa terjadi apabila individu yang sedang mengantuk atau keletihan namun masih mahu kekal berjaga. Mungkin ia bukanlah satu isu besar jika anda tertidur ketika sedang menggunakan menggunakan komputer, tetapi jika ia berlaku ketika anda sedang memandu, nyawa anda atau orang lain mungkin akan terkorban.

Mana tidaknya, disebabkan hanya tertidur 2-3 saat, kereta kita boleh meluncur jauh atau tersasar ke lorong bersebelahan. Maka tidak hairanlah, microsleep ini dianggap antara ‘pembunuh’ terbesar di atas jalan raya.

Cara Mengelak Daripada Microsleep

Kita sudah tahu mengenai apa itu microsleep dan puncanya. Bagaimanapula dengan cara mengelaknya? Mudah sahaja, berehat dan rehat yang terbaik ketika sedang penat ialah tidur.

Tidak perlu lama, cukup sekadar 15-30 minit, tidur akan dapat menyegarkan kembali diri anda sekaligus memberikan tenaga untuk anda meneruskan perjalanan.

via GIPHY

Walaubagaimanapun, adalah tidak dinasihatkan untuk anda tidur lebih daripada 30 minit kerana dikhuatiri anda akan memasuki fasa ‘deep sleep’.

‘Deep sleep’ ini bukan sahaja akan melemahkan daya tumpuan anda jika tidur yang dinikmati tidak mencukupi, malah ia juga mampu membunuh sekiranya anda tidur di dalam kereta.

Bahaya Tidur Dalam Kereta

Ya, tidur dalam kereta untuk tempoh yang lama adalah sangat berbahaya sehingga ia mampu meragut nyawa anda. Ini kerana sekiranya anda tidak menurunkan tingkap dan tidur dengan penghawa dingin terpasang, anda berkemungkinan besar akan mengalami sesak nafas dan lebih teruk, meninggal dunia dalam tidur.

Foto: Berkelana TYT

Berita mengenai kematian akibat tertidur di dalam kereta ini bukanlah sesuatu yang jarang kita dengari. Sebagai contoh, baru-baru ini berlaku satu kejadian di Indonesia di mana, seorang kanak-kanak lelaki ditemui sudah tidak bernyawa selepas tidur di dalam kereta bersama keluarganya.

Kes-kes sebigini biasanya terjadi akibat daripada sesak nafas yang disebabkan oleh kekurangan oksigen serta terhidu gas beracun. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuka penghawa dingin selain mematikan enjin sekiranya ingin tidur sebentar di dalam kereta.

Ini kerana kita tidak tahu seandainya badan terlalu letih atau mengantuk sehinggakan kita boleh tertidur sehingga berjam-jam lamanya.

Dapatkan Rehat Secukupnya Sebelum Memulakan Perjalanan

Betul, inilah cara yang terbaik untuk mengelakkan microsleep dan terkorban ketika tidur dalam kereta ini berlaku. Pastikan anda tidak memaksa diri untuk meneruskan perjalanan ketika sedang letih.

Terus memandu pulang ke kampung untuk hari raya selepas tamat waktu bekerja adalah satu tindakan yang amat tidak digalakkan terutamanya jika ia melibatkan pemanduan yang panjang.

“Ingatlah orang tersayang.”

Foto: BERNAMA

Sumber: Tuck, Gulfnews

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi