Siakap Keli
Foto: Facebook PDRM

Pasukan F: Tiada Uniform Dan Kewujudan Tidak Diketahui, Kisah Kehebatan Unit Rahsia PDRM

Meletakkan kepentingan umum dan keselamatan negara sebagai prioriti utama berbanding keselamatan diri telah menjadi darah daging pasukan keselamatan negara.

Tanpa gentar, mereka menyusun strategi menggempur sarang pengganas bagi memastikan ideologi tersebut tidak terus berkembang.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berkongsi sejarah penubuhan salah satu unit polis yang ditubuhkan khusus untuk menggempur pengganas komunis – Pasukan F.

Dengan motto ‘Hanya Yang Berani’ dan keanggotaan 164 orang ahli sahaja dalam tempoh 25 tahun, pasukan ini telah berjaya mematahkan kumpulan pengganas komunis antara tahun 1971 hingga 1989.

Jom kita telusuri sejarah penubuhan pasukan hebat ini.

Foto: PDRM

SIRI PASUKAN F: LEGASI 164

Sejak ditubuhkan pada tahun 1971, Pasukan F hanya mempunyai 164 anggota sahaja dalam tempoh 25 tahun dan menggunakan kekuatan semasa tidak lebih daripada 50 anggota.

Tidak seperti pasukan lain, Pasukan F tidak memiliki sebarang uniform operasi khusus, tidak disediakan sebarang rangsum, tinggal hanya di dua kuarters kerajaan dan tiada siapa yang mengetahui tentang kewujudannya apatah lagi kejayaan cemerlang pasukan itu.

Contoh rangsum tentera Australia. (Foto: Jejak Tapak)

Walaupun misi utama pasukan itu telah selesai dengan kejayaan cemerlang yang diakhiri pemeteraian Perjanjian Haadyai 1989, namun mereka masih dituntut untuk terus melaksanakan beberapa misi rahsia.

Antaranya membantu Cawangan Khas Sarawak dalam Operasi Chien Meh bagi menamatkan perjuangan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) pada tahun 1990/1991.

Hasilnya, kesemua 59 anggota terakhir Paraku berjaya dibawa keluar dari hutan Kanowit, Sibu dan Baram di
Miri, Sarawak.

Foto: PDRM

Dengan strategi rundingan yang tepat, mereka akhirnya bersetuju menamatkan perjuangan bersenjata yang mengambil masa lebih 50 tahun di bumi Sarawak.

Kejayaan besar kedua-dua operasi tersebut membolehkan negara bebas daripada ancaman bersenjata.

Selepas berakhirnya era komunis, Pasukan F terus dilibatkan dengan operasi-operasi membanteras jenayah berat seperti sindiket senjata api, penculikan, rompakan bersenjata, pengedaran dadah, sindiket mencetak wang palsu dan sindiket perjudian.

Antara operasi penting yang disertai Pasukan F adalah menghapuskan penjenayah yang menculik Pengerusi Rubber Manufacturing Association dan meminta wang tebusan sebanyak RM3.8 juta pada tahun 1991.

Selain itu, pasukan F turut terlibat datam operasi menumpaskan penjenayah terkenal, P. Kalimuthu atau Bentong Kali pada tahun 1993.

Walaupun keupayaan dan kemampuan Pasukan F ini tidak boleh dipertikaikan, namun pada 1 Mei 1995, Pasukan itu telah dibubarkan.

Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan mereka sebenarnya adalah sebahagian daripada wira-wira negara. Atas kesedaran inilah, cawangan Khas PDRM mengadakan Majlis Jasamu Dikenang pada 6 Disember 2016 bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Menurut beliau, Pasukan F Cawangan Khas PDRM merupakan ‘senjata sulit’ negara dalam menangani pemberontakan pengganas komunis.

Foto: PDRM

Ujarnya, ramai tidak tahu kewujudan pasukan elit itu lantaran segala operasi melumpuhkan aktiviti pengganas komunis berjaya dilakukan dengan cara yang amat sulit.

“Setelah 22 tahun pasukan ini dibubarkan iaitu pada 1995, baru sekarang kita mendedahkan kewujudannya yang menyumbang jasa amat besar kepada keamanan negara yang kita kecapi sekarang.

“Sudah sampai masanya kita mendendangkan jasa dan pengorbanan mereka kepada masyarakat dan kerajaan supaya semua anggota pasukan ini atau warisnya mendapat penghargaan sewajarnya,” katanya.

Sumber – Buku Coffee Table bertajuk ‘Pasukan F: Hanya Yang Berani’

“Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”

Sumber: PDRM

Amira

Love yourself.