Siakap Keli

Pemandu Dan Kelindan Lori Maut Kenderaan Terhumban Ke Gaung

Seorang pemandu lori dan kelindannya terbunuh apabila kenderaan yang dinaiki mereka bersama seorang penumpang, terbakar selepas terbabas lalu terhumban ke dalam gaung di Jalan Ulu Tiram menghala ke Felda Ulu Tebrau di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK II Anuar Amdzah berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Zuhairy Zainol, 32, dan Mohd Hasrul Fikry Razali, 28, manakala identiti penumpang mereka, seorang lelaki,  belum dikenal pasti.

Beliau berkata lori tersebut yang membawa muatan simen dilaporkan terbakar selepas terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 3 meter.

“Pemandunya tercampak keluar, kelindan pula terperangkap dan rentung di dalam kenderaan itu manakala penumpangnya pula patah bahu kanan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.38 pagi telah menghantar enam anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh 10 anggota bersama sebuah jentera dan tangki air dari BBP Tebrau dan Johor Bahru.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.