Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tumbuhan Yang Diancam Kepupusan, Peguam Ini Jelaskan Sebab Orang Ramai Perlu Hentikan Makan Lemang Periuk Kera

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sedar tak sedar lagi seminggu Ramadhan akan pergi meninggalkan kita dan semestinya semua sudah tidak sabar untuk menyambut hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri. Dan tak lengkaplah raya sekiranya tiada juadah yang dihidangkan di waktu  pagi syawal kan?

Kebiasaannya, menu yang dihidangkan adalah makanan tradisi yang telah diwariskan dari generasi terdahulu seperti lemang, rendah, lontong, ketupat dan pelbagai kuih-muih. Ia tentunya menambahkan lagi kemeriahkan suasana di hari raya dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sewaktu bersama-sama menjamah juadah tersebut.

Namun seiring dengan kemajuan, pelbagai inovasi yang dilakukan termasuk kepada juadah raya ini. Saban tahun pasti ada sahaja menu baru yang diperkenalkan untuk menyemarakkan lagi semangat Syawal. Antara juadah terbaru yang popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah lemang periuk kera.

Baru-baru ini, seorang peguam, Jehan Bakar telah menulis satu hantaran di Facebooknya mengenai perkara ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Pencinta Alam cawangan Negeri Pahang terpanggil untuk berkongsi dengan masyarakat mengenai periuk kera ini. Menurutnya:

Spesis tumbuhan liar dari genus Nepenthes dalam keluarga tumbuhan Nepenthaceae merupakan tumbuhan karnivor yang terkenal dengan daun berbentuk seakan-akan cangkir (pitcher) dan kelihatan sungguh cantik. Keunikannya terletak pada bekas atau pundi-pundi berbentuk seperti karung yang tumbuh di hujung daun. Namun jangan terpedaya kerana ia ibarat ‘perangkap indah’ yang akan menjerat dan memakan serangga.

Gambar : Penang Hill

Sekarang tumbuhan ini popular kerana sering digunakan untuk membuat lemang periuk kera yang agak terkenal di beberapa buah negeri. Malah ia boleh dikategorikan sebagai makanan yang eksklusif kerana bekalan periuk kera yang terhad. Lalu ramai yang menjual dengan harga yang agak tinggi iaitu kira-kira  RM10.00 untuk 4 hingga 5 cawan kecil beras pulut.

Tetapi, ramai yang tak tahu bahawa tumbuhan jenis nepenthes macrophylla ini telah tersenarai dalam IUCN sebagai spesis yang terancam. Pada masa akan datang, planet kita diramalkan bakal mengalami peningkatan suhu di antara 1 hingga 5 celcius (2 hingga 10 darjah Fahrenheit).

Banyak hidupan yang akan mengalami kesukaran untuk ‘membiasakan’ dengan fenomena cuaca ini. Tidak seperti haiwan yang mampu bergerak dan berhijrah ke tempat yang lebih dingin, spesis periuk kera ini tentunya akan kekal statik di ‘tempatnya’ dan menjadi mangsa pemanasan global.

Gambar : BTPN

Tetapi, jangan terkejut sekiranya kita yang menjadi punca tumbuhan ini pupus lebih awal! Jika ditambah pula dengan aktiviti pengambilan periuk kera secara besar-besaran, pastinya ia akan mempecatkan lagi proses kepupusan mereka.

Sebagai salah seorang dari ahli NGO alam sekitar, saya percaya yang perkara ini harus dikongsikan kepada orang lain untuk memberi kesedaran kepada semua. Kita perlu tahu bahawa kita punyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan iaitu mengelakkan diri dari membeli dan memakan tumbuhan unik tersebut.

Gambar : BM

Biasanya dalam jual beli kita akan ada satu konsep yang dipanggil permintaan (demand) dan pengeluaran (supply), jadi sekiranya permintaan berkurang, secara tidak langsung kita akan dapat menyelamatkan tumbuhan terancam ini.

Jadi saya mohon pada hari raya nanti, supaya kita semua tidak membeli atau makan lemang yang dibalut dengan periuk kera. Lakukannya demi bumi dan alam sekitar kita. Ia perlu dimulakan sekarang supaya orang ramai lebih sedar tentang perkara penting ini.

Sumber : Jehan Bakar 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.