Siakap Keli

Aidilfitri: Bapa Mohon Bantuan Hubungi Anak Dalam Tahanan Di China

PASIR PUTEH – Seorang bapa merayu bantuan Wisma Putra, khususnya kedutaan Malaysia di China untuk membantu beliau menghubungi anaknya, yang kini dalam tahanan di negara itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Mohamad Lazim Jusoh, 62, berkata, beliau tidak dapat menghubungi anaknya Umi Azlin, 35, termasuk melalui panggilan telefon, kerana kesukaran hidup.

“Saya berharap sangat dapat bercakap dengannya walaupun seminit, sekadar melepaskan rindu terutama pada Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherang Tuli di sini, hari ini.

Umi Azlim anak sulung daripada enam adik beradik, dijatuhkan hukum penjara seumur hidup, dan ditahan di penjara Guangzhou kerana menyeludup heroin ke negara itu pada tahun 2007 ketika berumur 23 tahun.

Bekas pesara tentera itu berkata, sejak dua tahun lepas beliau juga tidak menerima kiriman, walaupun sepucuk surat sebagaimana Azlim lakukan sebelum ini.

“Mungkin beliau tidak dapat lakukan kerana menghadapi kesukaran dan kekangan yang terpaksa beliau hadapi,” katanya.

Mohamad Lazim berkata, sebelum Ramadan baru-baru ini beliau menerima panggilan daripada Wisma Putra bagi memastikan sama ada beliau ingin mengunjungi anaknya atau sebaliknya, tetapi beliau terpaksa menolaknya disebabkan masalah kewangan.

“Bagaimana saya nak pergi ke sana jika tiada wang yang mencukupi,  pencen saya hanya cukup-cukup makan sahaja,” katanya.

Beliau percaya hubungan baik antara kedua negara mampu menyelesaikan masalah itu dengan baik.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.