Siakap Keli
Gambar Hiasan

Bapa Maut, Anak Cedera ‘Compressor’ Penghawa Dingin Meletup

SEREMBAN – Seorang bapa maut manakala anaknya cedera selepas pemampat penghawa dingin di sebuah kedai ais krim meletup dalam kejadian di pekan Kuala Pilah, pagi tadi.

Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Eva Saifun Kamuni berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun jatuh dari tingkat satu akibat letupan itu dan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul jam 11.13 pagi dan sebuah  jentera bersama enam pegawai bomba bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

“Siasatan awal mendapati letupan berlaku ketika mangsa sedang membaiki salah satu pemampat penghawa dingin yang berada di tingkat satu bahagian belakang premis berkenaan, mangsa kemudiannya telah memanjat tangga dan dibantu anaknya yang berusia 22 tahun.

“Bagaimanapun letupan berlaku secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terpelanting dan jatuh dari tangga sementara anaknya mengalami cedera ringan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Eva Saifun berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan dan kes akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.