Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: The Muse/Greg Schwem)

Kajian Saintis Dakwa Mereka Yang Kerap Berpeluk Lebih Sukar Terkena Penyakit

Anda perasan tak, jika anda sedang sedih atau tertekan dan seseorang datang memeluk anda, segala apa yang anda rasakan akan sedikit reda. Ya, memang ia benar-benar berlaku dan bukan hanya mainan perasaan sahaja.

Malah, menurut kajian yang dijalankan oleh Sheldon Cohen, seorang Professor dari Carnegie Mellon University di Pennsylvania mendakwa pelukan mampu menjauhkan seseorang daripada diserang penyakit.

Beliau telah menjalankan satu kaji selidik yang melibatkan seramai 404 responden di mana mereka dibahagikan kepada dua kumpulan, satu kumpulan akan dipeluk dan satu lagi tidak.

Hasilnya, selepas dua minggu, kumpulan yang tidak dipeluk telah menunjukkan simptom penyakit seperti demam dan selsema manakala mereka yang dipeluk kekal sihat.

Gambar Hiasan(Foto: Houston Sinus & Allergy)

Perkara ini dikatakan berpunca daripada penurunan tahap terkanan apabila dipeluk seterusnya akan menjadikan daya ketahanan badan individu akan meningkat.

Selain itu, pelukan juga telah terbukti boleh membantu dalam mempertingkatkan kesihatan jantung menerusi satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan saintis yang lain.

Dalam ujian itu, mereka membahagikan 100 pasangan kepada dua kumpulan; satu kumpulan akan berpegangan tangan selama 10 minit dan berpelukan selama 20 saat sambil satu lagi kumpulan hanya akan berpegangan tangan selama 10 minit dan 20 saat tanpa berpeluk.

Mereka mendapati kumpulan yang berpelukan menunjukkan penurunan kadar tekanan darah dan denyutan jantung yang lebih tinggi berbanding kumpulan yang lain.

via tenor

Bagaimanapun, harus kami ingatkan bahawa ia haruslah dilakukan dengan mereka yang mahram sahaja seperti suami isteri serta ahli keluarga dan sahabat sejantina.

Jika dilakukan dengan golongan yang selain daripada itu, nescaya anda sebenarnya sedang mencari ‘penyakit’.

Sumber: Healthline

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi