Siakap Keli
BERNAMA

PLUS Cadang Bina Kapsul Tidur Di R&R Tahun Depan

PETALING JAYA, Plus Malaysia Berhad (PLUS) bercadang membina kapsul tidur bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan berehat dan melepaskan penat, terutamanya kepada pemandu kenderaan berat.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata cadangan itu kini pada peringkat kajian dan projek rintisnya dijangka direalisasikan pada tahun hadapan.

“Kita sentiasa melihat kepada kemahuan pengguna… kapsul tidur yang juga dipanggil ‘time capsule’ ini akan memberi peluang kepada pemandu terutamanya pemandu kenderaan berat untuk mereka ambil ‘quick nap’ pada waktu malam sebelum mereka meneruskan pemanduan.

“Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini nanti dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar… sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya kepada Bernama ketika menerima kunjungan daripada delegasi pertubuhan berita itu di Persada PLUS di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata kapsul tidur tersebut akan dibina di kawasan rehat dan rawat (R&R) memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.

“Dahulu PLUS pernah membuka hotel di sepanjang lebuh raya tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mendapat sambutan dan kita dapati pemandu mahukan tempat tidur hanya untuk ‘quick nap’ dan tidak memerlukan hotel seharian.

“Maka kita akan lihat maklum balas pengguna terhadap projek rintis itu nanti dan kalau sambutannya baik, kita akan perluaskan di R&R bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, mengenai kunjungan hari ini, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata lawatan seumpama itu dapat memperkukuhkan hubungan serta kolaborasi media antara PLUS dan agensi berita berkenaan.

Beliau berkata Bernama boleh menjadi medium penghubung antara PLUS dan orang ramai dalam menyampaikan maklumat terkini sama ada mengenai pengoperasian PLUS, aliran trafik, keselamatan jalan raya dan maklumat kemalangan.

“PLUS dapat menyalurkan maklumat penting kepada Bernama yang seterusnya dapat menyampaikan kepada rakyat melalui pelbagai platform penyampaian dimiliki Bernama selain dapat menghebahkan kepada pelanggan Bernama termasuklah 40 surat khabar, dan juga televisyen serta radio,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Fuad Yahya dan Timbalan Ketua Pengarang Audio Visual Abdul Rahman Ahmad.

BERNAMA

 

Helmi

"Write every day even if it is just a paragraph"

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.