Siakap Keli
Foto: TNB

TNB Ambil Tindakan Isu Bil, Jamin Bayar Semula Jika Berlaku Lebihan Caj

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan akan memulangkan semula lebihan bayaran jika terbukti lebihan caj berlaku pada bil masing-masing.

TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata pada masa ini pihaknya fokus untuk memastikan setiap aduan pelanggan disiasat dan tindakan yang sewajarnya diambil.

“Ini termasuk memulangkan semula lebihan bayaran jika terbukti lebihan caj berlaku. Ia akan dikreditkan semula dalam bil pelanggan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat utiliti itu, pihaknya memandang serius kekhuatiran serta kegusaran pelanggan yang merasakan berlaku peningkatan ketara dalam bil masing-masing, dan komited untuk merungkaikan permasalahan mereka.

“Satu usaha menyeluruh sedang dilaksanakan TNB untuk menangani isu ini dengan terperinci, ini termasuk membantu pelanggan yang menerima bil tinggi secara bersemuka di Kedai Tenaga yang berhampiran atau dengan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454.

“TNB menghargai rungutan, aduan dan maklum balas yang mereka ajukan dan sedang memberikan tumpuan untuk mencari jalan penyelesaian,” jelas syarikat itu selain memohon maaf terhadap pelanggan yang terlibat.

Selain itu, TNB juga meneruskan kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam menangani isu tersebut.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.