Siakap Keli
Foto: Nadir Al-Nuri

Begitu Susahnya Kehidupan, Sampaikan Kupon Baju Mahu Ditukar Dengan Tomato Untuk Makan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di saat umat Islam di Malaysia bergembira membuat persiapan raya, mereka yang di Gaza lebih memikirkan kelangsungan hidup mereka sehari-hari.

Jika ada dalam kalangan anda yang meragui ke mana perginya sumbangan dikumpul untuk Palestin, kisah ini sedikit sebanyak mungkin boleh memberi pencerahan kepada anda.

Pengasas Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri sering berkongsi aktiviti sukarelawan dan maklumat terkini tentang masyarakat Gaza melalui laman Facebook, Instagram dan saluran Telegram.

Berikut ialah perkongsiannya.

Salah satu kelebihan dan perbezaan projek Baju Raya Baru yang kami di Cinta Gaza Malaysia laksanakan ialah selain baju untuk anak yatim, kami berusaha keras mendapatkan dana untuk membeli baju raya untuk ibu anak yatim juga.

Foto: Nadir Al-Nuri

Ibu anak yatim di Gaza adalah simbol kesabaran dan ketabahan wanita Palestin. Setelah dihadiahkan si suami sebagai syuhada’ mempertahankan agama dan bangsa, mereka terpaksa pula mendidik dan membesarkan anak-anak secara bersendirian.

Dan seperti ibu lain, mereka adalah teladan dalam pengorbanan.

Bezanya, di sini suasana hidup mereka jauh lebih susah dan tertekan, menyebabkan baju yang kami belikan setiap tahun untuk mereka misalnya, adalah hadiah yang cukup bermakna.

Tetapi bukan untuk semua. Semalam, saya melihat seorang ibu membelek baju di kedai yang telah ditentukan.

Sesekali beliau memandang baju, sesekali melihat kepada kupon di tangannya. Satu kupon untuk anak, dan satu kupon khas untuknya, si ibu.

Beliau terpinga-pinga, lalu saya dekati untuk bertanya.

Beliau berkata,

“Bolehkah saya gunakan kupon saya ini untuk membelikan baju bagi anak yang seorang lagi?”

Saya terkedu.

Beliau menolak membeli pakaian baru untuk dirinya, tetapi mahu menggunakan kupon kedua yang kami berikan untuk anaknya yang berada di rumah, yang tidak ditaja.

Saya terus menyeluk plastik di tangan, mengeluarkan kupon yang disediakan untuk ‘kecemasan’ seperti ini, lalu menghulurkannya kepada si ibu.

“Maaf. Kupon yang itu khas untuk baju puan, tetapi saya berikan satu kupon lagi untuk anak puan yang di rumah.”

Matanya berkaca dan bersinar gembira, tak sangka masih ada yang berusaha menghargainya. Tetapi sukanya tidak lama. Lalu ditanya soalan kedua,

“Kalau begitu bolehkah saya gunakan kupon saya ini untuk digantikan dengan duit untuk membeli tomato? Di rumah, kami tidak ada apa-apa hatta sebiji tomato pun sekarang ini. Saya tidak memerlukan baju baru tetapi anak-anak saya perlu makan.”

Gambar hiasan. (Gambar: Bonnie Plants)

Kali ini saya benar-benar terpaku.

Dalam sedu, saya memujuk supaya beliau membeli dahulu baju, dan kami akan memastikan mereka sekeluarga tidak kelaparan.

Itulah pentingnya sumbangan berterusan kalian.

Hari ini 80% penduduk Gaza bergantung kepada bantuan NGO untuk boleh meneruskan kehidupan.

Dan untuk mereka, kalian bukan semata-mata sumber makanan dan pakaian.

Kalian, adalah pelita yang menerangi hidup mereka, agar perjuangan yang penuh kesukaran, dapat terus ditempuhi sehingga sampai ke penghujung jalan.

Foto: Nadir Al-Nuri

Justeru, marilah kita sama-sama sumbangkan walaupun RM 1 Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Maybank 5648 1050 7826.

Semoga dengan sumbangan kecil ini pada penghujung Ramadhan ini menjadi asbab rahmat Allah ke atas kita di akhirat kelak.

Sumbangan yang kecil tapi ikhlas amat besar nilainya di sisi Allah. Dengan sumbangan inilah, kita membantu mereka untuk membina kehidupan di celahan runtuhan perkampungan di sana.

Sumber: Nadir Al-Nuri

Amira

Love yourself.