Siakap Keli

DBKL Benarkan Trak Makanan Beroperasi Di Jalan Raja

Kuala Lumpur : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan peniaga trak makanan, menjalankan perniagaan di Jalan Raja di sini, bermula esok sehingga Selasa depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama wakil trak makanan tersebut hari ini, dan keputusan berkenaan dicapai dengan bayaran deposit dikenakan sebanyak RM3,000 bagi setiap peniaga.

“Tahun ini kita tumpu kepada bazar Ramadan, tetapi kerana mereka (peniaga trak makanan) pun nak berniaga, jadi kita benarkan dan kemungkinan besar betul apa kita sangkakan, Jalan Raja merupakan tempat strategik.

“Mereka harus mengikut syarat kebersihan seperti tidak membuang minyak masak dan sebagainya. Kalau didapati mereka buat sedemikian kita akan ambil tindakan, sebab kita nak menjaga kebersihan jalan raya dan orang ramai datang dalam keadaan aman dan bergembira,” katanya dalam sidang media bagi mengulas isu peniaga trak makanan yang tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Raja.

Semalam, beberapa video tular menunjukkan peniaga trak makanan berkumpul di kawasan tersebut dan beberapa penguatkuasa DBKL mengawal keadaan trafik.

Sementara itu, Nor Hisham berkata kos operasi bazar Ramadan di Jalan Raja dianggarkan RM3 juta, dan pihaknya akan menambah baik pelaksanaan bazar di ibu negara pada tahun hadapan.

“Saya berpandangan kalau nak buat trak makanan cara baik adalah pada raya tahun depan, kali ini kita lebih kepada bazar Ramadan…tahun depan kita rancang lebih baik, selepas post mortem dilakukan dan kita bagi peluang kepada semua orang berniaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga tempatan supaya tidak menjual atau menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

“Mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat negara, kita akan ambil tindakan dengan menarik balik lesen dan menyenarai hitam mereka daripada permohonan semula selepas ini.

“Kita pandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk ambil tindakan,” katanya, bahawa hanya gerai peniaga dalam kalangan warga tempatan yang terlibat dengan kebakaran di Jalan Masjid India di sini, dipindahkan ke Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 3 dan 5.

Pada 21 Mei lepas, 30 gerai di Bazar Masjid India yang menjual pelbagai barang seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar pada 1.35 pagi.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.