Berdasarkan data yang dikongsikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) semalam, sebanyak 979 kes kematian disebabkan lemat dicatatkan sejak 2016 sehingga April 2019.
543 kematian daripada jumlah tersebut berlaku di sungai dan tali air, 225 di pantai, 126 di tasik atau lombong, 73 di air terjun atau jeram dan 12 kes kematian akibat lemas di pembentung.
Berikutan itu, wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berpesan kepada orang ramai agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti di kawasan tersebut.
“Orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dan patuh kepada papan tanda amaran khususnya pada musim cuti persekolahan dan perayaan ini,” katanya.
Peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengawasi pergerakan anak-anak mereka ke tempat rekreasi air yang berisiko tinggi, katanya.
Menurutnya lagi, sebanyak 15 kawasan di seluruh negara telah dikenalpasti melibatkan lima atau lebih kematian sejak 2016 sehingga 2018 antaranya Sungai Kg Batu Payung, Tawau, Sabah dan Air Terjun Sungai Sendat, Hulu Yam, Selangor.
Dalam tempoh itu, sebanyak 15 kes kematian berasingan direkodkan di kedua-dua tempat tersebut.
Antara kawasan berisiko lain ialah;
- Sungai SKC Kg Timah
- Sungai Chiling
- Sungai Gasi
- Empangan Semenyih
- Taman Putra Perdana
- Jambatan Stesen KTM Sungai Buloh di Selangor
- Sungai Kg Sabak,
- Pantai Nipah
- Muara Tok Bali di Kelantan
- Air Terjun Lata Berembun
- Air Terjun Chamang di Pahang
- Air Terjun Sekayu di Terengganu
Dalam tempoh yang sama, kes tertinggi berlaku di Selangor diikuti Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Oleh itu, KPKT melalui MKAA mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan-kawasan berisiko tinggi tersebut setiap kali musim cuti persekolahan dan perayaan.
Sumber: Bernama