Siakap Keli
Gambar : Guang Ming

Kenapa ‘Sport Rim’ Myvi Baharu Sering Jadi Tumpuan Pencuri? Ini Penjelasannya

Sebut sahaja nama Myvi, semua pasti akan terbayang model kereta jenis  hatchback buatan Malaysia, Perodua yang mula diperkenalkan sejak tahun 2005. Dan ia menjadi kereta terlaris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut dari tahun 2006 hingga 2010 dan setakat ini telah dikeluarkan sehingga ke generasi ketiga.

Pelbagai anugerah dan pencapaian yang dimiliki oleh kenderaan ini jadi tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan ramai individu sebagai kereta pertama mereka. Lebih membanggakan adalah apabila model terbaharu Myvi yang dilancarkan November 2018 lalu telah mencatatkan tempahan lebih dari 115,000 unit.

Baru-baru ini terdapat kes kecurian tayar dan sport rim yang melibatkan 20 buah kereta Myvi terbaharu dilaporkan di Pulau Pinang. Anehnya, walaupun terdapat banyak kenderaan mewah yang terparkir sederet dengan Myvi, pencuri tetap memilih untuk mengambil tayar dan rim kereta berkenaaan.

Gambar : Guang Ming

Suspek menyasarkan target kenderan yang terparkir di kawasan perumahan, pangsapuri mahupun yang berada di tepi jalan. Terutamanya kawasan yang tidak mempunyai pemantauan kamera litar tertutup (CCTV)

Selalunya kejadian ini disedari oleh mangsa apabila mereka bangun pagi dan mahu berangkat ke tempat kerja. Mereka mendapati kenderaan mereka tersadai tanpa tayar mahupun rim kereta dan hanya diletakkan batu-bata.

Gambar : Guang Ming

Perkara berkenaan dipercayai berlaku oleh kerana nilai tayar dan rim kereta kenderaan tersebut dapat dijual dengan harga yang mahal. Seorang pekerja kedai tayar memaklumkan bahawa tayar dan rim kereta Myvi lama hanya dijual sekitar RM 350.00, namun untuk Myvi baharu, ia sangat bernilai dan boleh dijual semula dengan harga ribuan ringgit.

Orang ramai yang terkena telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. Dan terkini memetik kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan mengenai dua tayar kereta Myvi yang dicuri.

Malah beliau juga menasihatkan pemilik kenderaan yang mengalami nasib yang sama untuk melaporkan insiden terbabit kepada pihak berkuasa untuk memudahkan mereka mengesan penjenayah terbabit.

Sumber : Guangming 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.