Siakap Keli

Banggakan Negara, Pelajar Malaysia Berjaya Tamat Latihan Akademi Tentera Berpengaruh Dunia Di Amerika Syarikat

Nama Malaysia sekali lagi diangkat di peringkat antarabangsa apabila pencapaian seorang anak Melayu berjaya menamatkan latihan daripada Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat di West Point pada minggu lepas. Pencapaian anak muda ini sekaligus melonjakkan nama Malaysia di persada dunia dan sudah pastinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Abdul Halim Abdul Rahim telah berjaya menamatkan pengajiannya di dalam ilmu ketenteraan selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Sebelum ini, beliau mendapat keputusan cemerlang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum melanjutkan pengajian ke akademi tersebut. Beliau dipilih melanjutkan pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dan Ketenteraan disebabkan keputusan cemerlang  dalam Asasi kejuruteraan dan latar belakang sekolah di Maktab Tentera DiRaja (MTD)  yang menjadi kelebihan.

Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat yang juga dikenali sebagai West Point merupakan akademi yang dipenuhi oleh pelajar-pelajar yang cenderung kepada bidang ketenteraan. Menjadi salah satu daripada lima akademi perkhidmatan di Amerika Syarikat, akademi ini dianggap sebagai akademi yang berpengaruh di seluruh dunia.

Menerusi laman Twitter U.S Embassy KL, Abdul Halim diberikan penghargaan dengan ucapan tahniah kerana berjaya bergraduasi daripada akademi tersebut.

Rata-rata pengguna laman Twitter yang berbangga dengan pencapaian anak muda ini tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada beliau. Bukan sekadar ucapan tahniah, pengguna laman Twitter juga mengharapkan beliau pulang ke tanah air dan menyumbang ilmu yang dipelajari di Malaysia.

“Tahniah anak Melayu”

“Harap dia pulang ke Malaysia dan kongsikan pengetahuannya”

“Alhamdulillah, tahniah anak muda”

Sumber: U.S. Embassy KL

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa