Siakap Keli

Bukan Cinta Biasa, Lelaki Beli Lautan Semata-mata Nak Lembutkan Hati Teman Wanita

Seorang wanita dari China meraih perhatian netizen di media sosial yang terkejut dengan hadiah yang diterimanya baru-baru ini.

Manakan tidak, hadiah daripada teman lelakinya itu berupa hak penggunaan sebuah lautan terbuka seluas 21 hektar.

Terletak di perairan wilayah Shandong, dekat Pulau Cheniushan, lautan itu sebelumnya merupakan milik sebuah syarikat penternakan ikan dan diperolehi oleh kekasih wanita tersebut menerusi bidaan dalam talian.

Lelaki tersebut yang bernama Zhang itu dilaporkan membayar kira-kira 682,662 yuan (RM414, 082.76) untuk mendapatkan lautan tersebut.

Dia kemudian menawarkan kepada teman wanitanya sebagai usaha untuk memujuk wanita itu kerana tidak memberikan hadiah sebelum itu.

Media tempatan di wilayah Shandong di China kemudian menyiarkan tangkapan skrin daripada aplikasi Wechat yang  menunjukkan wanita itu memberitahu rakan-rakannya bahawa teman lelakinya memberikan kejutan dengan membeli ‘sebahagian lautan’ untuk memujuk.

Malah, wanita itu turut berkongsi bidaan yang dimenangi teman lelakinya itu berserta peta lokasi dan gambar kawasan lautan tersebut.

Sementara itu, peguam yang berpangkalan di Beijing, Zhang Xinnian memberitahu media China, The Paper, bahawa bidaan yang dibeli oleh Zhang adalah sah mengikut peruntukan undang-undang.

Sumber : oddity central

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.