Siakap Keli
Gambar Hiasan

Imam Terlupa Baca Al-Fatihah, Sah Ke Solat? Ini Penjelasan Mufti

Memang tidak dinafikan bahawa lupa sering terjadi pada diri manusia. Dalam pandangan Islam, orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan. Lupa berlaku dalam semua perkara termasuklah dalam mengerjakan solat.

Umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat dalam solat. Ada juga yang berlaku dalam kehidupan kita, dimana  ketika solat berjemaah, imam terlupa membaca surah Al-Fatihah. Ini yang mengundang gelisah dan kekeliruan kepada makmum.

Untuk keterangan lebih jelas dan lanjut, ini penjelasan daripada Mufti Wilayah.

Solat mempunyai rukunnya yang tersendiri. Ianya terbahagi kepada rukun fi’li yang berkaitan dengan perbuatan, rukun qauli yang bersangkutan dengan percakapan, rukun qalbi dan rukun maknawi. Kesemua rukun-rukun ini wajib dilakukan barulah solat yang ditunaikan menjadi sah.

Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli. Solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :” Tidak ada solat (tidak solatnya) bagi sesiapa yang tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah.”

Riwayat Ibnu Majah (828)

Kata Imam al-Nawawi ketika berkomentar berkenaan hadis ini :

“ Membaca al-Fatihah bagi yang mampu untuk membacanya merupakan kefarduan dan rukun yang mana tidak diterjemahkan kepada bahasa selain dari bahasa arab dan juga tidak boleh diganti dengan bacaan yang lain daripada al-Quran. Ianya juga wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mhupun solat sunat.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ( 3/283)

Ini memberi makna bahawa tidak sah solat jika surah al-Fatihah tidak dibaca

Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah dirumuskan oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmuk.

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (3/288)

Ada tiga keadaan jika seseorang itu terlupa membaca al-Fatihah :

  1. Jika dia terlupa membaca al-Fatihah dan teringat bahawa dia tidak membaca al-Fatihah dan pada ketika itu  dia rukuk maka dia perlu bangun dan membaca semula surah al-Fatihah.
  2. Jika dia teringat setelah dia bangun untuk rakaat seterusnya, maka bacaan al-Fatihah pada ketika itu, menjadi ganti untuk rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah. Sebelum salam, dia perlu bangun dan menambah rakaat serta sujud sahwi.
  3. Jika dia teringat selepas memberi salam dalam waktu yang tidak terlalu lama, maka dia perlu bangun untuk menambah rakaat sebagai ganti rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah dan disusuli dengan sujud sahwi. Adapun jika berlalu waktu yang terlalu lama kemudian dia teringat bahawa ada satu rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah, maka dalam keadaan ini dia perlu solat semula.

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (2/288)

Bagi imam yang terlupa membaca al-Fatihah, solatnya tidaklah batal dan dia perlu menambah rakaat sebelum salam. Ini kerana rakaat yang dia terlupa untuk membaca al-Fatihah dianggap tidak bernilai. Oleh itu sebelum salam, dia perlu bangun dan tambah rakaat sebagai ganti kepada rakaat yang mana dia terlupa untuk al-Fatihah di dalamnya. Adapun, jika dia tidak bangun menambah rakaat sesudah salam dan berlalu dalam tempoh masa yang lama, maka solat yang dilakukannya sebelum itu tidak sah dan perlu mengulang semula solatnya.

Bagi makmum pula, mereka mempunyai dua pilihan jika imam terlupa membaca al-Fatihah :

  1. Terus mengikut imam dengan harapan dan anggapan bahawa imam akan menganti semula rakaat yang dia terlupa membaca al-Fatihah. Jika Imam tidak mengganti rakaat pada akhir solat iaitu sebelum salam, makmum boleh berniat mufaraqah dan mengganti sendiri rakaat tersebut.
  2. Makmum terus berniat mufaraqah dan meneruskan solatnya secara sendiri.

Seeloknya hendaklah mengikut imam. Ini supaya tidak menimbulkan kekacauan dan kekecohan. Jika imam tidak juga mengganti rakaat  sebelum salam maka dibenarkan kepada makmum untuk berniat mufaraqah.

Wallahu’alam

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang