Siakap Keli
Gambar Hiasan

Ramai Yang Terkeliru, Pakar Nutrisi Ini Jelaskan Perbezaan Susu Yang Biasa Dijumpai Di Pasaraya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Waktu anda berjalan di pasaraya dan lalu di bahagian groceries, mata anda pasti terpukau dengan susunan kemas tin-tin di atas rak. Ada pelbagai jenis pilihan dari segi jenama mahupun reka bentuk. Mungkin umum dah sedia maklum mengenai kegunaan mahupun kebaikan susu seperti low fat, UHT, fresh milk, full cream dan sebagainya.

Gambar Hiasan

Tetapi masih ramai yang tak tahu atau keliru sebenarnya terdapat banyak jenis susu tin, bukan krimer dan sejat sahaja. Oleh itu, seorang pakar pemakanan (nutrisi), Thiru Kanesh telah menjelaskan setiap jenis kategori susu tin ini dalam hantarannya di Facebook. Menurutnya:

6 Perbezaan Susu Tin Yang Selalu Ada Di Pasaran

1. Susu Sejat Penuh Krim (evaporated full cream milk)
Susu yang telah disejatkan airnya, lebih dikenali sebagai susu cair oleh orang kita.

2. Susu Pekat Manis Penuh Krim (sweetened condensed full cream milk)
Susu yang telah disejatkan airnya menjadi lebih pekat dan ditambah gula. Kebiasaanya ramuan utama bukan susu tapi GULA. Rujuk pada bahan pertama di senarai ramuan.

3. Susu Isian Sejat (evaporated filled milk)
Susu yang telah disejatkan airnya. Lemak dalam susu tu pula telah dikeluarkan dan diganti (atau senang cerita ‘diisi’) dengan minyak tumbuhan.

4. Susu Isian Manis (sweetened filled milk)
Sama seperti susu isian sejat dan ditambah GULA (gula adalah ramuan utama).

5. Krimer Sejat (evaporated creamer)
Ianya berasaskan minyak tumbuhan, selalunya minyak sawit yang telah diproses dan dilunturkan menjadi putih seakan susu. Juga terdapat dalam jenis serbuk (krimer kopi). Banyak digunakan dalam minuman pracampur/ 3 dalam 1, bubble tea, carrot ‘susu’, masakan, nasi minyak, kuih, dessert dan ABC.

6. Krimer manis (sweetened creamer)
Sama seperti krimer yang berasaskan minyak tumbuhan dan telah ditambah dengan GULA (kandungan gula adalah ramuan utama) dan biasa digunakan dalam minuman panas seperti teh tarik, sirap bandung dan sebagainya di kedai makan. Kalau lagi hipster – krimer yang berperisa (coklat, strawberi, karamel) makan ngan roti. Biasanya, krimer akan diberi nilai tambah dengan menambah mineral atau vitamin. Kuantiti yang ditambah tu jarang memberi impak baik berbanding GULA yang kita sedia tahu implikasi kesihatan jika diambil secara tidak terkawal.

Gambar Hiasan

Selama ini anda gunakan yang mana satu atau hasil yang menggunakan produk yang mana satu?

Kalau dirujuk Piramid Makanan Malaysia, hanya susu sejat penuh krim (1 sajian = 2/3 cawan susu sejat) yang tergolong dalam kumpulan susu dan produk tenusu. Menurut Akta Makanan 1983 pula, krimer tergolong di bawah kategori bahan pemanis (sweetening substance).

Jadi, tak hairanlah bila negara tersenarai dalam statistik negara paling obes dan mendahului carta bilangan pesakit kencing manis yang ramai sebab kerap dan banyak mengambil minuman/ makanan berasaskannya. Bangga? Fikirkan semula, amalkan kesederhanaan!

Nota: Kebiasaannya, susu diimport dalam bentuk pepejal susu dan lemak susu yang kemudiannya diproses/ dicampur semula ke bentuk cecair sebelum dipek untuk dijual (recombined milk). Jadi, pada label ramuan akan dilabel lemak susu, pepejal susu. Malah, ada krimer sejat/ krimer manis yang masih mengandungi pepejal susu, namun kandungannya tidak sebanyak minyak tumbuhan+gula yang menyebabkan produk tersebut tidak memenuhi kriteria perlabelan sebagai susu.

Apa pun, rajinlah baca label dan kenali jenis produk. Label produk mungkin berubah mengikut formulasi terkini.

Rujukan: Akta Makanan 1983

Sumber : Thiru Kanesh

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.