Siakap Keli
Gambar : Bernama

Tiada Lagi Caj Tersembunyi Tiket Penerbangan – MAVCOM

Kuala Lumpur : Mulai esok, penumpang tidak perlu lagi bimbang mengenai caj tersembunyi ketika membeli tiket penerbangan.

Ini kerana, mulai tarikh tersebut, MAVCOM akan menguatkuasakan pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang memerlukan syarikat penerbangan memaparkan harga sebenar tiket penerbangan selepas ditambah semua caj, kata ketua pegawai operasi MAVCOM, Azmir Zain hari ini.

Beliau berkata ini bermakna syarikat penerbangan tidak lagi boleh mengenakan pelbagai caj tambahan tersembunyi seperti caj pentadbiran dan bayaran kad terhadap penumpang.

”Jadi, jika syarikat penerbangan masih mengenakan caj tersembunyi, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka kerana melanggar arahan itu.

”Sebagai contoh, syarikat penerbangan boleh memilih untuk tidak mengenakan caj pembayaran kad, atau jika masih berhasrat mengenakan caj kepada pengguna, ia mesti dipaparkan pada harga tiket penerbangan itu,” katanya kepada sumber.

Beliau berkata langkah itu diambil MAVCOM berikutan pelbagai aduan daripada pengguna, bagi memberikan perlindungan yang kukuh dan komprehensif kepada penumpang penerbangan di Malaysia.

Sementara itu, MAVCOM telah meluluskan sebanyak 864 penerbangan tambahan bagi 27 laluan domestik antara 25 Mei dan 17 Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Ia termasuk 114 penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Kota Bharu (88 penerbangan), Kuala Lumpur dan Kuching (83 penerbangan), Kuala Lumpur dan Sandakan (27 penerbangan), Kuala Lumpur dan Tawau (29 penerbangan) serta Langkawi dan Melaka (11 penerbangan).

”Jumlah 864 penerbangan tambahan merangkumi sebanyak 283,592 tempat duduk…ini bermakna 283,592 orang sebenarnya boleh pulang semasa perayaan-perayaan itu hasil tambahan kerusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata daripada 864 penerbangan tambahan itu, sebanyak 580 penerbangan ditawarkan oleh AirAsia, Malaysia Airlines (121), Malindo Air (153) dan Firefly (10).

Beliau berkata berdasarkan kaji selidik terkini yang dilakukan MAVCOM mengenai tambang kapal terbang sepanjang 10 laluan, penerbangan tambahan menjadikan tambang lebih murah di kebanyakan laluan tersebut berbanding tahun lepas.

“Tambang lebih murah sebanyak 8.9 peratus hingga 71 peratus di tujuh laluan iaitu Kuala Lumpur-Alor Setar, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Bintulu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Labuan, Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Terengganu.

”Bagaimanapun, kami juga menyedari bahawa terdapat laluan yang menyaksikan kenaikan harga tiket iaitu Johor Bahru-Sibu, Kuala Lumpur-Sandakan dan Kuala Lumpur-Tawau. Kita anggap ini sebagai petunjuk tahap permintaan terhadap laluan tersebut,’‘ katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di