Siakap Keli
Gambar: Facebook PDRM

Dirempuh Motosikal Ketika Bertugas, Anggota Polis Ini Disahkan Meninggal Dunia

JOHOR BAHRU, Seorang anggota polis maut manakala rakan sekerjanya cedera parah dirempuh sebuah motosikal ketika mereka sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dalam kejadian itu, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, yang cedera di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin, 29, serta penunggang motosikal, Thevarajan, 36, mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira pukul 6.40 pagi itu berlaku ketika dua anggota Peronda Polis sedang melakukan pemeriksaan pada sebuah van di bahu jalan sebelah kiri di tempat kejadian.

“Secara tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling telah terlanggar kedua-dua anggota polis yang sedang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bedah siasat telah dijalankan di bilik Forensik HSA kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut telah dibawa ke Balai Trafik Johor Bahru Utara dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

Jenazah dijangka akan disolatkan di Surau Taman Melor di sini setelah bedah siasat selesai. Salam takziah buat keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama-sama golongan orang beriman.

Al-Fatihah & Salam Takziah.

— BERNAMA

 

Edayu

Editor: Azmil

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di