Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Telegraph/FB Klinik Dr Muhaimin)

“Tapi Ada Kawan Saya Kata, Elok Cucuk Untuk Cepat Sembuh”, Ayah Degil, Kesihatan Anak Dipertaruhkan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tugas sebagai seorang doktor bukanlah mudah dan seindah yang dijangka. Hampir setiap hari, mereka perlu menghadap pelbagai kerenah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dari mereka.

Mahu atau tidak, para doktor perlu menghadapinya dengan penuh rasa sabar. Akan tetapi, ia berbeza dengan apa yang dihadapi oleh Dr. Muhaimin baru-baru ini.

Beliau bukannya terpaksa melayan kerenah pesakit, namun kerenah seorang bapa yang membawa anaknya berusia 9 tahun yang sedang demam ke klinik Dr. Muhaimin untuk menerima suntikan.

Menurut kisah yang dikongsikan di laman Facebook-nya, Klinik Dr Muhaimin, bapa itu berdegil mahu anaknya disuntik selepas demamnya tidak surut walaupun sudah enam hari menghidapinya kerana mendengar nasihat rakannya.

Walaubagaimanapun, ia tidak dipersetujui oleh Dr. Muhaimin dan beliau mencadangkan anak pelanggannya itu menjalani pemeriksaan lanjut terlebih dahulu kerana bimbang adanya masalah yang lebih serius.

Ikuti kisah penuh mengenai kejadian ini yang dipetik daripada laman Facebook Klinik Dr Muhaimin di bawah.

Hari ini seorang ayah datang membawa anak berumur 9 tahun.

“Saya nak suntik anak saya. 6 hari demam, dah makan ubat tapi tak kebah”.

Si ayah terus berterus terang tujuan kedatangan ke klinik.

“Nak cucuk ubat apa?” Sengaja saya tanya walaupun jenis suntikan saya yang akan tentukan sendiri.

“Ubat demam.”

“Ubat demam dengan satu suntikan tidak akan menyembuhkan demam yang sudah 6 hari. Kalau saya suntik antibiotik sekali pun, satu jarum belum mampu mematikan semua kuman”.

Sememangnya saya tak suka menyuntik kanak-kanak tanpa sebab yang konkrit. Kesan psikologi suntikan lebih teruk daripada kebaikkan suntikan.

“Tapi ada kawan saya kata, elok cucuk untuk cepat sembuh”.

“Bukan semua suntikan perlu dan bukan semua suntikan boleh sembuhkan penyakit dengan segera.”

“Sebab apa encik beli antibiotik?”. Tanya saya lagi.

“Kawan saya yang cadangkan. Sebab anak dia demam sekali makan antibiotik sampai sekarang tak demam-demam. Lagi pun anak saya kerap demam. Hampir sebulan sekali”.

‘Kawan saya kata’. Getus saya dalam hati. Semua nasihat perubatan daripada kawan.

6 hari demam. Masih belum kebah. Ubat demam dan antibiotik dibeli difarmasi. Ye, dibeli di farmasi tanpa perskripsi doktor!

Nama antibiotik tidak diketahui oleh ayah pesakit. Habis sebotol, tapi demam masih belum sembuh.

Menurut ayahnya lagi, si anak kerap demam. Sebulan sekali.

“Anak tuan makan sayur?” tanya saya.

“Tak makan.”

Gambar Hiasan(Foto: WeHaveKids)

“Mungkin itu sebabnya pertahanan tubuh dia tak kuat”.

“Anak saya yang ini (sambil menunjukkan kepada adik pesakit) tak makan sayur juga. Tapi jarang demam.”

Cara jawapan si ayah sudah menunjukkan pola pemikirannya. Saya teruskan usaha memberi penerangan.

“Demam 6 hari perlu kepada pemeriksaan darah. Lagipun anak encik sudah ambil antibiotik dan masih belum kebah. Kita bimbang kuman dalam darah, denggi dan sebagainya”.

“Tapi ini bukan denggi”. Celah ayah pesakit bila saya menyebut denggi.

“Sebab apa encik kata bukan denggi?”.

“Kalau denggi, maknanya demam anak saya tiap-tiap bulan sebelum ni denggi la.”

Aduh!

Begitu sekali singkat pemikiran si ayah.

“Mana boleh encik kata begitu. Demam boleh jadi pelbagai sebab. Tak boleh kita pukul rata setiap kali demam, maka demam yang terjadi tu demam yang sama”.

“Kalau denggi mesti naik bintik-bintik merah dan muntah”. Sambung si ayah masih belum berpuas hati.

“Bintik-bintik merah tak termasuk dalam tanda-tanda wajib denggi. Muntah pun hanya dalam kes denggi yang sudah teruk”.

Saya cuba berikan penerangan.

Sabar. Sabar. Sabar.

Nampaknya ayah pesakit masih berkeras. Diulang-ulang berkali-kali demam anaknya bukanlah denggi.

“Macam ni la doktor, saya datang ni nak tanya boleh ke tak suntik anak saya. Kalau tak boleh tak apa la”.

“Tak boleh.” Jawab saya. “Anak encik perlukan pemeriksaan darah dan cari punca dia demam”.

“Kalau macam tu tak apa la doktor.”

Terus ayah lelaki 40an tadi bangun untuk beredar.

Saya hulurkan borang AOR (at own risk), selepas bapa pesakit enggan bersetuju dengan rawatan yang ditawarkan.

Saya memberi plilihan sama ada siasatan dibuat di klinik saya atau di fasiliti kerajaan. Tetapi si ayah tetap dengan pendirian asal, suntikan!!!

Pemeriksaan darah perlu kerana demam sudah berpanjangan, dibimbangi kuman merebak dalam darah ke hati dan buah pinggang.

Apa yang dibimbangi juga kuman menjadi kebal disebabkan kerintangan antibiotik yang diambil sewenang-wenangnya.

Ayah pesakit keluar dengan tergesa-gesa. Tanpa menandatangani borang AOR.

Alasannya kad pengenalan sendiri tak dibawa.

Semoga Allah selematkan anak kecil tadi daripada kuman yang merbahaya disebabkan ego dan keras kepala seorang ayah.

Bagi emoji sekali diruangan komen bagi yang membaca sehingga habis.

Doktor kecewa.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat membuka mata ibu bapa dan orang ramai diluar sana agar lebih peka akan masalah berkaitan kesihatan diri dan keluarga, serta tidak lagi mendengar nasihat seseorang bergelar “RAKAN”.

Sumber: FB Klinik Dr Muhaimin

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi