Ramai penduduk warga kota dilihat membanjiri lebuhraya-lebuhraya untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari raya Aidilfitri bersama orang-orang yang tersayang.
Pastinya kawasan-kawasan perumahan di sekitar perumahan anda turut akan menjadi lengang. Sehubungan dengan itu, risiko untuk berlakunya kejadian jenayah di kawasan perumahan anda akan menjadi tinggi.
Selain daripada itu, langkah-langkah keselamatan serta kelancaran dalam memandu di lebuhraya yang dijangka akan sesak sempena dengan musim perayaan ini perlu juga diambil berat bagi memastikan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman lancar.
Untuk mengetahui apakah perkara-perkara wajib yang perlu dilakukan sebelum pulang menyambut hari raya di kampung halaman, ikuti perkongsian yang dikongsi oleh pihak PDRM sepeti berikut.
#InfoBersama 5 PERKARA WAJIB SEBELUM PULANG BERHARI RAYA
Sedar tak sedar, berberbaki beberapa hari sahaja lagi 1 Syawal bakal menjelma. Pasti ramai yang sedang sibuk membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman masing2.
Dalam keterujaan membuat persiapan Aidilfitri, ada beberapa perkara penting yang perlu diingat sebelum pulang ke kampung halaman. Berikut adalah 5 perkara yang wajib anda lakukan sebelum pulang bercuti bagi memastikan semuanya berjalan lancar agar cuti hari raya anda lebih bermakna.
1. Periksa kenderaan / tiket

Pastikan anda memeriksa keadaan tayar, brek, pendingin hawa dan keseluruhan komponen kereta dalam keadaan yang baik agar tidak berlaku perkara tidak diingini dalam perjalanan nanti. Bagi yang pulang dengan kenderaan awam, pastikan tarikh dan masa di tiket dicetak dengan betul.
2. Keselamatan rumah

Pastikan semua pintu rumah berkunci. Juga padamkan suis perkakasan elektrik dan tutup paip air sebelum meninggalkan rumah.
3. Maklumkan kepada polis dan jiran

Jangan lupa maklumkan kepada jiran, polis dan pengurusan kondominium tentang ketidakberadaan seisi keluarga di rumah. Ia bagi memastikan keselamatan kediaman anda dipantau ketika berada di kampung.
4. Tambah nilai kad Touch & Go

Harus diingat, semua lorong tambah nilai di semua plaza tol ditutup sepanjang Aidilfitri. Oleh itu, tambah nilai kad prabayar anda sebelum tarikh tutup.
5. Kemas kini aplikasi GPS

Kemudahan navigasi GPS dapat membantu mencari laluan alternatif jika berlaku kesesakan ataupun penutupan jalan.
Sumber: PDRM