Siakap Keli
Gambar Hiasan

“Usah Pokai Kerana Raya,” Sanggup Meminjam Sana-Sini Semata-Mata Nak Beraya Sakan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dijangkakan lagi dua hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri. Bahang sambutan kian terasa dengan berita aliran trafik sesak yang dilaporkan di corong-corong radio sambil ‘diselitkan’ dengan lagu-lagu raya. Tentunya teruja untuk menyambut lebaran setelah hampir sebulan kita melaksanakan ibadah puasa.

Malah kemeriahan sebenarnya sudah dapat dirasai sejak permulaan Ramadhan lagi di mana semua kedai, pasaraya mahupun pusat membeli belah mengadakan jualan murah dan memberi harga diskaun. Pastinya ramai yang teruja untuk membeli barang-barang keperluan raya, rasa nak borong semua je, bak kata orang raya kan setahun sekali!

Tapi sebenarnya kita harus bersederhana dalam beberlanja. Lebih-lebih lagi ketika membeli keperluan dan menyediakan persiapan raya. Faridah Mohd Ali telah berkongsi kisahnya melalui hantarannya di laman Facebook. Menurutnya:

Usah Pokai Kerana Raya

Dua hari lalu, ketika saya dan Dzul di Pusat Service BMW Inggress di Damansara, ketika menunggu kereta dibawa keluar selepas siap service, saya mendapat satu mesej dari seorang kenalan. Hanya kenalan fb, kami tak pernah berjumpa pun.

Mesejnya berbunyi.

“Salam Kak Faridah, saya mohon maaf mengganggu akak pagi ni. Kita fren FB. Kak Faridah tak kenal pun saya tetapi saya tahu kak Faridah suka membantu orang. Sejujurnya saya berhajat nak pinjam duit akak dalam RM3000 sebagai persediaan hari raya. Saya dalam kesempitan sekarang ni. Saya perlukannya untuk persiapan membeli baju raya anak-anak, nak service kereta, nak tukar duit raya dan menyediakan sedikit buah tangan kepada orang tua di kampung. Saya berjanji saya akan bayar semula selepas raya nanti kerana saya akan mendapat duit kutu pada bulan depan.”

Saya tidak membalas mesejnya. Termenung seketika. Terkedu pun ada. Pengalaman saya sendiri, orang meminjam banyak berjanji, hujungnya janji hanya tinggal janji.

Duit yang dipinjam tidak dibayar walaupun mereka berjanji macam-macam. Seminggu dua ni ramai benar yang nak meminjam dengan saya, Setiap hari ada je yang mesej, saya bukan bank atau koperasi tempat bagi loan. Mereka sanggup meminjam sana sini bergolok bergadai hanya untuk beraya sakan.

Gambar Hiasan

Pepatah “Biar papa asal bergaya” itu benar-benar meresap dan diterima padu dalam diri masyarakat kita. Kesian. Ramai orang kita yang susah. Tetapi keadaan susah itu bertambah susah dan parah apabila kita mahu menunjukkan gaya bahawa kita orang senang. Supaya berdiri sama tinggi dengan orang lain. Sakit sendiri. Merana tak berkesudahan.

Saya faham bagaimana perasaan orang yang susah. Saya tahu rasanya ketika poket kosong. Wajah terasa lebam dan kelabu, hati rasa berbalam-balam, jiwa rasa sengsara. Saya juga pernah mengalami saat seperti itu.

Yang berbeza adalah saya terima kenyataan bahawa ketika itu kami sedang susah. Saya tidak bergaya sakan seolah-olah kita ada duit sedang hakikatnya poket kita kering kontang.

Mungkin ramai yang tidak tahu kisah kami:-

Sebulan sepanjang Ramadhan, kami berbuka puasa di masjid kerana kesempitan wang. Ini pengalaman paling mahal dalam hidup saya. Pagi raya kami makan nasi empit kuah kacang yang saya sediakan sendiri sekadar mengambil suasana hari raya untuk anak-anak. Tak ada lemang dan rendang, tanpa pelbagai hidangan dan biskut raya di atas meja kerana semuanya mahal jika nak beli.

Gambar Hiasan

Kami tak balik kampung dua tahun berturut-turut kerana ketiadaan wang. Selepas solat raya, kami hanya di rumah beraya dengan cara kami. Bersalam dan bermaafan dalam keadaan sama-sama mengerti, baik saya, Dzul dan anak-anak. Zohor dan Asar kami ke masjid untuk berjemaah. Maghrib dan Isyak pun sama. Tetap bahagia bersama-sama. Raya yang bermakna.

Kami tidak ke mana-mana. Adik beradik yang lain semua balik ke Kelantan. Bila mereka bertanya, saya meminta maaf dan memberi alasan keadaan tidak mengizinkan.

Tidak pula saya berterus terang kepada keluarga. Kerana yang benar-benar akan faham hanya diri kita sendiri. Selepas balik dari masjid solat sunat raya, saya telefon arwah ma dan ayah, serta mertua meminta maaf kerana tidak dapat pulang beraya di kampung. Saya minta ma mendoakan kebahagiaan kami.

Saya berjanji akan segera pulang bertemu mereka apabila masalah kewangan selesai. Alhamdulillah mereka sangat memahami dan mendoakan kami sekeluarga. Kami fahamkan anak-anak tentang ujian sementara yang dihadapi. Mereka memahami dan tidak merengek untuk dibelikan baju atau meminta sesuatu yang tidak perlu. Kami berbincang sekeluarga dari hati ke hati. Syukur, anak-anak sangat memahami.

Perkara yang sangat saya jaga adalah sesekali tidak akan meminjam wang dengan kawan-kawan hanya untuk beraya sakan.

Anda bayangkan untuk balik kampung. Kereta nak service, tayar botak nak kena tukar, duit minyak tiga empat ratus wajib ada, belanja tol, makan minum dan sebagainya. Saya yakin ibu ayah kita juga pernah mengalami kesempitan hidup. Fahamkan kepada ibu ayah kita keadaan kita.

Gambar Hiasan

Fahamkan anak-anak kita bahawa beraya itu bukan sekadar membeli baju raya dan kuih raya. Kuih raya juga suatu pembaziran, banyak dibuang je selepas raya. Duit raya, mengapa perlu memberi duit raya jika kita sendiripun tak berduit. Fikirkan kehidupan kita selepas hari raya, perbelanjaan dapur, persekolahan anak-anak dan keperluan lain lebih penting dari sekadar berbelanja sakan untuk sehari itu sahaja.

Orang kita dibudayakan dengan cara yang salah dalam menyambut raya. Sangat menyimpang dari kehendak Islam yang sebenar.

Baju raya, kasut raya, langsir raya, perabut raya, hiasan raya, lampu raya, sampul raya, duit raya, lagu raya, rendang raya, lemang raya dan bla bla bla. Akhirnya semua jadi hantu raya kerana cengkung muka ketakutan dikejar hutang selepas pokai papa kedana hanya kerana raya sakan yang sehari cuma.

Menziarahi sanak saudara tanpa duit raya tidak salah. Baju raya bukan keutamaan. Guna sahaja baju yang sedia ada dan baju Melayu yang tahun lalu. Asal saja bersih dan rapi. Apa guna kasut baru jika dompet kita tak ada isinya. Segala macam biskut dan kuih raya juga tidak perlu. Cukuplah satu atau dua jenis sahaja.

Gambar Hiasan

Menu penuh meja adalah pembaziran, hakikatnya tak termakanpun. Raya kedua, semuanya dah dibuang. Lebih parah apabila ramai yang ke klinik dan hospital, pada raya kedua kerana terkena cirit birit dan keracunan makanan. Langsir baru tidak perlu. Pakai je langsir lama. Harga diri kita bukan pada langsir.

Jangan sekali-kali membuat pinjaman peribadi sekadar untuk menyambut raya. Itu masuk lubang kambus sendiri namanya. Menderita nanti lepas raya. Berbelanja seadanya. Utamakan silaturrahim dan kasih sayang sesama kita. Tak perlu membandingkan apa yang kita ada dengan apa yang ada pada orang lain. Hidup bahagia tanpa sengsara.

Tak perlu tukar kereta jika kita tidak berduit. Gunakan saja apa yang ada. Jika ada yang nak mengata, biarkan sahaja. Kerana susah kita, hanya kita yang rasa.

Ingat, perkara terpenting adalah tidak menyusahkan diri sendiri sekadar untuk menampakkan kita orang senang, sedangkan kita sebenarnya pokai. Hiduplah apa seadanya. Yang penting hati kita bahagia.

Sumber : Faridah Mohd Ali 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.