Siakap Keli
Foto: GiveMeSport,@CharlieMooseGib

Kapten Liverpool Hadiahkan Kemenangan UCL Untuk Bapanya Yang Berjaya “Kalahkan” Kanser

Lebih kurang pukul 5 pagi pada 2 Jun 2019 waktu Malaysia, Liverpool FC telah dinobatkan sebagai juara bagi Liga Juara-Juara Eropah, piala bola sepak kelab paling berprestij di benua berkenaan.

Pada malam itu di Madrid, stadium dipenuhi dengan ramai individu yang mengalirkan air mata baik air mata kekecewaan mahupun air mata kegembiraan sebaik sahaja pengadil Slovenia, Damir Skomina meniupkan wisel penamat perlawanan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah tangisan daripada kapten Liverpool, Jordan Henderson. Jelas ia adalah tangisan kegembiraan, namun Henderson dilihat menangis lebih kuat berbanding orang lain terutama ketika memeluk seorang lelaki di tepi padang ketika itu.

Ketika itu ramai yang tidak mengenali siapa lelaki berkenaan akan tetapi selang beberapa minit selepas video pelukan mereka tersebar, ramai mula mengetahui bahawa lelaki itu adalah bapa Henderson iaitu Brian Henderson.

Apa yang menyentuh hati terutamanya peminat Liverpool ialah bapa kapten mereka itu sebenarnya adalah seorang pejuang kanser tekak. Sama seperti anaknya, Brian juga berjaya mengalahkan “lawannya” itu.

“Bapa saya sudah mendepani pelbagai cabaran sepanjang beberapa tahun lepas. Saya berbangga dia berada di sini hari ini dan melihat kami menang. Ia bermakna segalanya buat dia. Saya gembira dapat membuatkannya tersenyum,” kata Henderson kepada Telegraph.

Menurut Henderson ‘senior’ pula, dia bersama Jordan pergi menonton perlawanan akhir antara Juventus dan AC Milan pada 2003 di Old Trafford, dan ketika itu Jordan berkata “Ayah, satu hari nanti saya akan bermain dalam perlawanan ini.”

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid itu, pasukan yang diwakili Jordan Henderson, Liverpool FC telah berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dengan jaringan 2-0 hasil ledakan Mohamad Salah pada minit ke-2 serta Divork Origi pada minit-minit akhir permainan.

Liverpool kini sudah bergelar juara Eropah sebanyak enam(6) kali, hanya diatasi oleh Real Madrid(13) dan AC Milan(7) sebagai pemenang paling banyak untuk piala yang digelar “Big Ears” itu.

Liga bola sepak Eropah akan berehat seketika untuk memberi ruang setiap pasukan memperkuatkan pasukan menerusi perpindahan musim panas dan akan bersambung semula pada Ogos nanti.

Pastinya peminat bola sepak boleh mengharapkan satu persaingan yang lebih menarik pada musim hadapan.

Sumber: Telegraph, 90Min, @CharlieMooseGib

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi