Siakap Keli
Gambar Hiasan

Ditanya Bila Nak Kahwin, Ini Jawapan ‘Win’ Tapi Tak Menyakitkan Hati Boleh Anda Berikan

Sudah menjadi kebiasaan, apabila pulang beraya, kita akan menerima pelbagai soalan-soalan daripada saudara-mara yang lama tidak ketemu. Namun, kadang-kala ada soalan-soalan yang agak ‘pedas’ sehinggakan mencabar kesabaran kita untuk menjawabnya.

Antara soalan yang paling popular diterima oleh golongan bujang ialah “Bila nak kahwin?”. Tidak dinafikan, niat orang yang bertanya hanya untuk mengambil berat tentang diri kita, akan tetapi ada masanya ia disusuli dengan kenyataan kurang sedap di belakangnya.

Perkahwinan juga tidak semuanya indah. Ada di kalangan kita yang terseksa akibat tersalah pilih pasangan. Itulah yang dikongsikan oleh Mohd Fadli Salleh menerusi kiriman yang dimuatnaik di Facebook-nya baru-baru ini.

“Kenapa tak kahwin lagi? Kau tengok anak saudara aku Si Maria tu. Anak dah lima. Umur kau sebaya dengan dia kan?”

“Mak Esah. Tahukah Mak Esah Maria sedang failkan penceraian dengan suami dia? Tahukah Mak Esah Maria itu saban hari menjadi ‘punching bag’ suami dia?

Jodoh saya Tuhan pegang. Mungkin Tuhan lewatkan jodoh agar bertemu yang sesuai. Bukan yang baran kaki pukul dan tidak bertanggungjawab,” balas Nina lantas memberi salam sebelum berlalu pergi.

Beginilah kawan-kawan. Kahwin awal bukan penentu bahagia. Ada yang kahwin tak sampai 2 tahun terus bercerai.

Ada suami yang curang sewaktu isteri sedang hamil, ada pula yang main kayu tiga semasa isteri sedang berpantang.

Tidak kurang ada yang dapat suami penagih dadah. Jenis baran dan kaki pukul. Salah sedikit naik kaki tangan.

Belum dicerita yang menjadi biawak hidup. Isteri bekerja siang malam, suami pegang kad bank bergaya bukan main dengan wang isteri.

Kisah rumahtangga ini bermacam ragam. Baik lelaki, baik perempuan.

Ada sahaja yang kahwin kemudian menyesal kahwin. Nak sangat bercerai cepat-cepat. Rela hidup sendirian dari menderita akibat sebuah perkahwinan.

Di jabatan agama, beribu-ribu fail penceraian sedang diproses. Kes di mahkamah sentiasa ada setiap hari.

Purata penceraian di Malaysia mencecah 40,000 pasangan setahun. 40,000 kawan, bukan 40 pasangan.

Itu statistik berdaftar. Banyak sahaja kes bercerai tapi tidak didaftarkan.

Ngeri bukan dengan angka begitu?

Sebab itu untuk mereka yang masih belum bertemu jodoh, jangan khuatir sangat. Pilih betul-betul agar tidak tersalah pilih.

Usaha itu tetap perlu. Perlu mencari. Perlu usaha untuk mendekati dan memahami hati budi.

Namun untuk protes dengan marah-marah orang bertanya bila nak kahwin, tak perlu lah rasanya.

Mungkin Tuhan merancang kehidupan yang jauh lebih baik untuk kalian.

Bahkan ada kawan-kawan kalian berharap tidak pernah pun berkahwin. Yang berharap diceraikan pun ramai.

Ada yang menyesal berkahwin. Ada yang ingin kembali membujang akibat salah pilihan.

Yang kahwin pun tak payah galak menyindir geng bujang ini. Perkahwinan kalian itu jaga elok-elok agar sentiasa bahagia dan berkekalan lama.

Ini ada yang bukan main galak mempersendakan kawan-kawan yang masih bujang. Rupanya perkahwinan dia sendiri bergoncang tidak sampai setahun dua.

Ingatlah. Kita merancang Tuhan juga merancang. Dan perancangan Tuhan itulah sebaik-baik rancangan.

Siapa tahu kahwin lambat itu lebih bahagia dan berkekalan lama berbanding kawan-kawan yang kahwin awal?

Siapa tahu Tuhan sengaja melambatkan jodoh kalian agar kalian tidak menderita akibat salah pilihan?

Tiada siapa tahu perancangan Tuhan. Maka sentiasa bersangka baik denganNya dan terus berusaha.

Sumber: FB Mohd Fadli Salleh

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi