Masalah di antara kerajaan Amerika Syarikat dengan syarikat pembangun teknologi, Huawei masih belum menampakkan tanda-tanda mahu reda.
Akan tetapi, mungkin ada sedikit sinar harapan bagi Huawei apabila pembangun Android, Google dilihat sudah mula berusaha untuk tidak lagi menyekat produk keluaran syarikat berkenaan daripada menggunakan sistem operasi mereka itu.
Menurut laporan Financial Times, Google telah merayu untuk dikecualikan daripada sekatan ke atas Huawei dan memberi amaran kepada Donald Trump yang sekatan itu boleh menggugat keselamatan negara.

Laporan itu juga memetik dari tiga sumber rapat bahawa pegawai atasan Google telah menghubungi pegawai kerajaan Amerika mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Google telah mengumumkan bahawa peranti keluaran Huawei tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan sistem operasi Android di masa akan datang.
Walaubagaimanapun, pada minggu lepas, mereka didapati kembali memasukkan model Huawei Mate 20 Pro dalam senarai peranti ujian untuk versi Android yang berikutnya, Android Q.
Pada bulan lepas, Jabatan Perdagangan Amerika(DOC) telah menyenaraikan Huawei dalam senarai “Entity List”, di mana mana-mana syarikat di negara itu yang ingin berurus niaga dengan yang tersenarai perlu mendapat keizinan kerajaan terlebih dahulu.
Berita ini sudah pasti memberikan sedikit kelegaan kepada Huawei dan peminat peranti mereka dan sudah tentu mereka berharap usaha Google untuk kembali dibenarkan berkerjasama dengan Huawei akan berjaya.
Sumber: Financial Times